Images
  • polis malaysia crime scene
    (Gambar: BERNAMA)

Siaran berita kemalangan jadi petunjuk wanita jejaki adiknya yang hilang

TEMERLOH: Aksesori kereta iaitu spoiler dan rim tayar yang dilihat dalam berita kemalangan di televisyen menggerakkan hati seorang kakak untuk mencari adik beliau setelah dua hari gagal menghubunginya.

Mastura Hashim, 53 tahun, berkata beliau menonton siaran berita itu pada 22 Ogos lalu. Ia memaklumkan pihak polis masih mencari waris kepada mangsa kemalangan maut di Triang, Bera dekat Temerloh, yang berlaku pada awal pagi 20 Ogos.

"Saya mengenali spoiler dan rim kerana begitu serupa dengan kereta dibeli suami adik. Tambahan pula, saya baru melihat kereta itu sebulan lalu semasa kami berkumpul di Triang semasa emak mertua saya meninggal dunia.

"Saya minta anak ke balai polis bagi mendapatkan lebih maklumat berhubung kereta itu dan dapati beberapa deskripsi diberikan menepati kereta suami adik seperti awalan nombor pendaftarannya," terang Cik Mastura kepada wartawan semasa ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) pada Jumaat (13 Sep).

Beliau hadir bagi menuntut jenazah adiknya Rosidah, 46 tahun, dan anak lelaki mangsa iaitu Abdillah Nila, 17 tahun. Kedua-dua mangsa maut bersama warga Pakistan Sher Zaman Khan, 35 tahun, yang merupakan suami kepada Rosidah.

Semua mangsa ditemui rentung selepas kereta Proton Wira dinaiki mereka terbabas dan melanggar dua buah lori di laluan bertentangan pada kejadian 6.15 pagi, 20 Ogos lalu, di Kilometer 43 Jalan Temerloh-Bahau dekat Temerloh.  

- BERNAMA/FZ/fz

Top