Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Siapa kata anda tidak boleh jalankan niaga tutor di sini, walau berada beribu batu di Eropah?

Bagi sesetengah usahawan, berada jauh dari pelanggan adalah satu cabaran tetapi bagi Encik Mohd Noor Mohd Tahir, 33, hal ini bukanlah satu masalah besar.

Anggaran Waktu Membaca:
Siapa kata anda tidak boleh jalankan niaga tutor di sini, walau berada beribu batu di Eropah?

Encik Mohd Noor (kiri), pengasas CMN Education Group. (Gambar: Mohd Noor Mohd Tahir/ Facebook)

Diterbitkan : 19 Dec 2017 11:26PM Dikemas Kini : 19 Dec 2017 11:39PM

KUALA LUMPUR: Bagi sesetengah usahawan, berada jauh dari pelanggan adalah satu cabaran tetapi bagi Encik Mohd Noor Mohd Tahir, 33, hal ini bukanlah satu masalah besar.

Walaupun menetap jauh dari tanah air di Birmingham, Britain sejak 2014, perniagaan perkhidmatan tutor rumah yang diusahakan tetap berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.

Melalui syarikat CMN Global Consultant Sdn. Bhd (CMN) beliau menjalankan perniagaan pembelajaran di rumah menggunakan jenama CMN Academy di pelbagai lokasi seluruh negara.

Daripada kelas tuisyen untuk pelajar sekolah rendah dan menengah sehinggalah kelas pendidikan agama untuk pelbagai peringkat umur, syarikat ini memiliki 1,000 tenaga pengajar berdaftar. Lebih 250 daripadanya mengajar secara aktif.

(Gambar-gambar: Mohd Noor Mohd Tahir/ Facebook)

Dengan bantuan teknologi dan penggunaan media sosial, Encik Mohd Noor berkomunikasi dengan pasukan pengurusannya yang berpusat di Kajang, Selangor.

BERMULA DARI BAWAH

Graduan Ijazah Sarjana Muda Bioperubatan kelahiran Seremban ini mula menunjukkan minat dalam bidang latihan sejak bergelar mahasiswa lagi. Sewaktu di universiti beliau selalu menawarkan diri sebagai fasilitator program-program siswa.

Beliau bertemu dengan seorang lagi fasilitator, Ustaz Arif Asaád yang akhirnya menjadi rakan perniagaan beliau hingga hari ini.

Bersama Ustaz Arif Asaád, beliau menganjurkan bengkel pertama ‘Program Motivasi Al-Quran’ di Seremban dan membangun syarikat pertama mereka bersama dengan nama ‘Akademi Infitah’.

Program itu menyasarkan pelajar sekolah yang sedang bercuti panjang. Tanpa disangka, program itu mendapat sambutan hangat. Lebih 100 peserta didaftarkan oleh para ibu bapa.

“Pertama, kerana pada waktu itu tidak banyak program sebegitu dianjurkan di Seremban, dan kedua adalah tanpa kami sedar kerana yuran yang kami kenakan amat rendah untuk sebuah program selama empat minggu, hanya seratus lebih sahaja. Siap ada kenderaan menjemput dan menghantar pulang pelajar lagi,” cerita beliau sambil tertawa.

TIMBA ILMU DI BRITAIN

Encik Mohd Noor ke Britain pada 2014 untuk menemani isterinya yang melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana di Universiti Birmingham.

Walaupun sibuk menjaga dua anak lelakinya sepanjang berada di sana, beliau menggunakan peluang yang ada untuk mengikuti perkembangan sistem pendidikan di Britain dengan lebih dekat.

Beliau juga sempat membina jaringan perniagaan di sana dengan mengumpulkan rakyat Malaysia yang menjalankan perniagaan dalam kelompok bisnes dinamakan UK-Malaysia Entrepreneurs Networking (UMEN).

POTENSI KERJAYA TUTOR

Menurut Encik Mohd Noor, golongan yang mendaftar sebagai tutor datang dari pelbagai latar belakang. Baik yang sudah mempunyai pekerjaan tetap mahupun yang masih menganggur, boleh mendaftar sebagai tutor.

Sebagai perantara antara pelanggan dengan pengajar, sudah menjadi tanggungjawab syarikat untuk menyaring kualiti tutor. Oleh itu, semua tutor CMN perlu mengikuti kursus ‘Beyond Expectation Tutor’ untuk memastikan kualiti pengajaran yang bakal disampaikan kepada pelanggan mencapai standard tertentu.

Prinsip pengajaran dan pembelajaran yang diguna pakai CMN juga tidak memberikan tumpuan kepada jumlah ‘A’ atau berorientasikan peperiksaan semata-mata. Apa yang lebih penting adalah sesi pembelajaran yang santai tetapi dapat menarik minat pelajar terhadap sesuatu subjek.

Potensi pendapatan sebagai tutor bergantung kepada jumlah jam mengajar pada satu-satu bulan. Menurut Encik Mohd Noor, secara umum seseorang tutor boleh menjana pendapatan tambahan antara RM300 (S$100) hingga RM 2,000 (S$660) sebulan.

TUTOR DALAM TALIAN

Mengikuti perkembangan semasa, CMN pun mula menawarkan perkhidmatan tutor secara online sejak September lepas sebagai cabang perkhidmatan baru kepada pelanggan.

“Konsep ‘digital learning’ juga semakin giat dikembangkan di UK dengan penggunaan teknologi sidang video, papan putih maya dan teknologi rakaman video semakin mendapat tempat di sana.

“Oleh itu kami berpendapat produk berasaskan konsep sama boleh ditawarkan kepada pelanggan. Kami sendiri menjalankan projek perintis sejak 2015 sebelum berani menawarkannya kepada pasaran,” jelas beliau.

Menurutnya lagi, konsep ini semakin digemari kerana ia memberi fleksibiliti kepada pelajar untuk memilih masa yang disukai untuk belajar. Ia juga bagus kerana dengan menggunakan rakaman video pelajar boleh mengulang tayang bahagian rakaman video jika tertinggal mana-mana bahagian.

Selain kos yang ditawarkan juga lebih rendah, pihak penyedia perkhidmatan boleh memberi lebih banyak bahan bantuan pembelajaran kepada pelanggan.

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan