Images
  • acosta
    Gambar fail Setiausaha Buruh Amerika Syarikat, Alexandar Acosta. (Gambar: Jeenah Moon/REUTERS)

Setiausaha Buruh AS Alexander Acosta letak jawatan di tengah-tengah kes Epstein

WASHINGTON: Setiausaha Buruh Amerika Syarikat (AS) Alexander Acosta meletak jawatan pada Jumaat (12 Jul) di tengah-tengah siasatan baru berhubung cara beliau mengendalikan kes dakwaan salah laku seks terhadap pembiaya dana, Jeffrey Epstein.

Acosta, yang menyertai Donald Trump di Rumah Putih sebelum Presiden Amerika Syarikat itu berangkat untuk satu lawatan ke Wisconsin, berkata beliau tidak mahu menjadi gangguan kepada kerja-kerja pentadbiran hanya kerana kepimpinan beliau mengendalikan kes Epstein lebih sedekad lalu.

“Saya melihat pada masa hadapan dan merasa adalah tidak betul dan tidak adil bagi pentadbiran Jabatan Buruh untuk meraih tumpuan ke atas kes Epstein dan bukan keadaan ekonomi negara cukup luar biasa yang kita capai hari ini,” kata Acosta.

Trump, yang sudah memecat ramai pegawai kabinet dan pentadbiran lain di Rumah Putih sepanjang dua tahun setengah kepimpinan beliau, berkata bahawa ia adalah atas kerelaan Acosta sendiri untuk mengundurkan diri.

“Acosta menghubungi saya pagi tadi dan mahu berjumpa. Saya hanya mahu anda tahu bahawa ini adalah keputusan beliau dan bukan saya,” kata Trump kepada wartawan.

Peletakan jawatan Acosta akan berkuat kuasa dalam masa tujuh hari. Trump turut menamakan Timbalan Setiausaha Buruh, Patrick Pizella, sebagai pemangku Setiausaha Buruh.

Acosta berkhidmat dalam kabinet Trump sejak April 2017 dan dari 2005 hingga 2009, beliau merupakan peguam Daerah Selatan di Florida. Di sana, beliau mula mengendalikan kes pertama Epstein yang membabitkan salah laku seks dengan budak bawah umur. Pengkritik mendakwa hukuman ke atas Epstein ketika itu adalah terlalu ringan. 

- REUTERS/FZ/fz

Top