Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Setiausaha Agung BN gesa jangan desak adakan Pilihan Raya Umum, tumpu dulu keselamatan rakyat

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa menyeru ahli politik di Malaysia agar mengetepikan dahulu perebutan kuasa dan mengutamakan keselamatan rakyat berikutan peningkatan kes COVID-19 di negara ini sekarang.

Anggaran Waktu Membaca:
Setiausaha Agung BN gesa jangan desak adakan Pilihan Raya Umum, tumpu dulu keselamatan rakyat

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 02 Oct 2020 06:34PM Dikemas Kini : 02 Oct 2020 06:38PM

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa menyeru ahli politik di Malaysia agar mengetepikan dahulu perebutan kuasa dan mengutamakan keselamatan rakyat berikutan peningkatan kes COVID-19 di negara ini sekarang.

“COVID-19 adalah satu perkara yang mana semua negara masih dalam proses memeranginya. Do not take this lightly (jangan pandang ringan perkara ini) dan jangan pula kita mendahulukan perebutan kuasa politik.

“… dan adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melindungi nyawa dan keselamatan rakyat,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Datuk Bandar Kuala Lumpur, di sini hari ini (2 Okt).

Beliau sebelum itu ditanya mengenai dapatan tinjauan yang dibuat oleh Astro Awani yang mendapati lebih 80 peratus netizen tidak bersetuju jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat.

Menteri Wilayah Persekutuan itu yang bersetuju dengan pandangan netizen tersebut berkata berdasarkan pengalamannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini, adalah sukar untuk memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan masyarakat.

“Sewaktu saya mengendalikan jentera pilihan raya di Sabah, memang berlaku ketidakpatuhan terhadap SOP dan apabila mereka pulang ke Semenanjung berlaku penularan wabak itu di sini,” katanya.

Sebelum ini, sesetengah pemimpin politik menggesa agar diadakan PRU15 dalam masa terdekat susulan dakwaan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen untuk menubuhkan kerajaan baru.

Sementara itu, Encik Annuar menasihati warga kota agar mengamalkan Kawalan Pergerakan Sukarela yang diterjemahkan sebagai “meminimumkan pergerakan kepada yang perlu sahaja.”

“Contohnya, saya sendiri hanya pergi pejabat untuk perkara penting dan jika tiada apa-apa saya kurangkan pergerakan. Ini bukan bermakna kuarantin tetapi mengawal,” katanya.

Semalam, Kementerian Kesihatan melaporkan 260 kes baru COVID-19 di Malaysia dengan 259 adalah penularan dalam negara. 

Sumber : Bernama/SU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan