Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Setia pada parti atau personaliti?

Faktor apa yang menentukan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14?

Anggaran Waktu Membaca:

ALOR SETAR: Faktor apa yang menentukan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14?

Bagi warga Kedah, selain menyaksikan pertembungan pengaruh dua mantan Menteri Besar Kedah iaitu Ahmad Bashah Md Hanipah dan Mukhriz Mahathir, gelanggang politik negeri itu turut disertai tokoh politik kelahiran Kedah sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam PRU yang lalu, calon DUN Suka Menanti, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menang tipis, dengan hanya 895 majoriti. Beliau yakin boleh mengekalkan tampuk kepimpinannya itu dalam pemilihan 9 Mei ini.

Wartawan BERITAMediacorp Izwan Ohtman bertemu dengan para penduduk bagi mendapatkan reaksi mereka.

Dalam satu majlis bertemu penduduk di Padang Terap, Datuk Seri Ahmad Bashah mengingatkan rakyat agar jangan biarkan Pulau Langkawi senasib dengan Pulau Pinang.

"Saya dah habak (bilang) sebab itu jangan! Orang Pulau Langkawi kena tengok apa yang berlaku di Pulau Pinang. Pulau Pinang diperintah oleh DAP. Walaupun hari ini yang bertanding, yang merebut kerusi dan kuasa ini PKR. Lambang PKR tapi belakang dia DAP. Jadi apa yang berlaku di Pulau Pinang jangan jadi pada Langkawi," kata beliau yang disokong penduduk yang mengenang pembangunan yang dibawa kerajaan BN ke Kedah.

"Kami daripada penduduk Padang Terap ini selalu kami pilih parti sebab parti Barisan Nasional ini sudah berkembang dan maju. Dari segi pembangunan pun sudah maju!" menurut Encik Mustar Osman, seorang penduduk Padang Terap.

Namun, di pihak yang lain ada penduduk yang masih memendam kekecewaan apabila Mukhriz Mahathir terpaksa melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar pada 2016 ekoran kehilangan sokongan majoriti ADUN BN Kedah.

"Apabila Mukhriz dipecat, hampir 90% penduduk Kedah marah dan penyokong-penyokong bola sepak marah. Apabila masuk stadium membawa sepanduk menyokong Mukhriz dan sehingga hari ini saya pun seorang peminat bola sepak, apabila menteri besar Kedah masuk, boleh dikatakan hampir sampai satu stadium mengejeknya," ujar Che lah Harun, penduduk Jerlun.

Walaupun kali ini bertanding di bawah jentera parti pembangkang, Mukhriz Mahathir calon Pakatan Harapan bagi kerusi Parlimen Jerlun yakin akan kesetiaan penduduk terhadapnya, lebih-lebih lagi dengan kehadiran bapanya.

"Sewaktu beliau (Tun Dr Mahathir) memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, dia tidak membenarkan kaum keluarga dia terlibat secara aktif dalam politik itu sebabnya saya menawarkan diri untuk terlibat dalam politik UMNO setahun selepas ayahanda Tun bersara iaitu pada 2003," jelasnya.

Dalam Pilihan Raya Umum kali ini, Kedah merupakan antara negeri yang paling menjadi tumpuan rakyat seluruh Malaysia. Ini kerana sebelum ini Kedah merupakan kubu kuat Barisan Nasional dengan pengaruh tokoh politik kelahiran Kedah sendiri iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya, Mukhriz Mahathir.

Bagaimanakah pula kali ini apabila mereka sudah beralih parti?

Adakah penduduk Kedah akan setia pada parti atau tokoh politik yang disegani mereka?

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan