Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Serbuan rumah Najib: Mahathir mahu 'setiap orang dilayan dengan baik'

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau mahu 'setiap orang dilayan dengan baik’ berikutan persoalan yang timbul berhubung serbuan lewat malam di kediaman rasmi mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Anggaran Waktu Membaca:
Serbuan rumah Najib: Mahathir mahu 'setiap orang dilayan dengan baik'

(Gambar fail: Roslan Rahman/ AFP)

Diterbitkan : 17 May 2018 06:28PM Dikemas Kini : 17 May 2018 06:29PM

PETALING JAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau mahu 'setiap orang dilayan dengan baik’ berikutan persoalan yang timbul berhubung serbuan lewat malam di kediaman rasmi mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Polis ada prosedur operasi standard mereka sendiri, saya tidak tahu mereka perlu melakukan serbuan di malam hari. Tetapi arahan saya sangat jelas, Saya tidak mahu menyeksa sesiapa atau perkara seperti itu. Saya mahu setiap orang dilayan dengan baik," kata beliau.

Bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di sini hari ini, Dr Mahathir ditanya tentang alasan polis melakukan serbuan di rumah Najib pada malam hari.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh mengesahkan pihaknya menggeledah kediaman mantan perdana menteri itu di Taman Duta malam tadi (17 Mei).

Tinjauan Bernama mendapati 16 kenderaan polis dan sebuah trak memasuki kediaman Najib pada jam 10.15 malam bagi menjalankan siasatan dan susulan itu, kawasan sekitar kediamannya dikerumuni pengamal media tempatan dan asing selain orang ramai untuk mengetahui perkembangan terkini.

Polis dilihat turut menggeledah kediaman Najib di sebuah apartmen mewah di Jalan Raja Chulan.

Mengenai serbuan itu juga, perdana menteri menjelaskan polis mungkin mempunyai alasan untuk melakukan tindakan itu tetapi beliau tidak dimaklumkan alasan tersebut.

Ditanya sama ada isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor turut disiasat susulan laporan bahawa polis merampas banyak beg tangan dalam serbuan itu, Dr Mahathir berkata pihak berkuasa melakukan siasatan tanpa mengira sesiapa.

"Kalau ada kes kita ambil tindakan. Terpulang kepada mereka yang melakukan siasatan, siasatan ini melibatkan beberapa agensi kerajaan atau kementerian, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, polis, Jabatan Audit Negara dan badan lain yang mempunyai maklumat," kata beliau.

Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah disenaraihitam oleh Jabatan Imigresen daripada meninggalkan negara ini.

Selasa lalu (15 Mei), Dr Mahathir berkata beliau menjangka pertuduhan akan dikenakan terhadap Najib susulan penyiasatan terhadap dakwaan bahawa bekas perdana menteri itu menyeleweng beratus juta dolar Amerika daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pakatan Harapan yang dipengerusikan Dr Mahathir menumbangkan kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib pada pilihan raya umum 9 Mei lalu. 

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan