Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Serangan udara India ragut nyawa 4 orang awam di Pakistan

Empat orang, termasuk dua kanak-kanak, terbunuh manakala 10 yang lain cedera akibat insiden tembak-menembak antara para askar India dengan Pakistan di Kashmir pada Selasa (26 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Serangan udara India ragut nyawa 4 orang awam di Pakistan

Empat orang terbunuh manakala 10 lain cedera akibat insiden tembak-menembak antara para askar India dengan Pakistan di Kashmir. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 27 Feb 2019 09:20AM Dikemas Kini : 27 Feb 2019 09:29AM

ISLAMABAD: Empat orang, termasuk dua kanak-kanak, terbunuh manakala 10 yang lain cedera akibat insiden tembak-menembak antara para askar India dengan Pakistan di Kashmir pada Selasa (26 Feb).

Menurut para pegawai Pakistan, insiden itu berlaku sedang ketegangan antara kedua-dua negara yang dilengkapi dengan senjata nuklear itu semakin meningkat.

"Sebutir peluru meriam milik India memusnahkan sebuah rumah di daerah Nakyal di Garisan Kawalan, membunuh seorang ibu, anak perempuan dan anak lelakinya manakala tiga yang lain cedera," kata pegawai pengurusan bencana tempatan, Shariq Tariq, kepada agensi berita AFP.

New Delhi dan Islamabad kerap menuding jari ke arah satu sama lain, melepaskan tembakan di sempadan Kashmir yang dikawal oleh pihak tentera, yang diberi nama Garisan Kawalan.

Encik Tariq berkata seorang wanita juga terbunuh manakala tujuh yang lain cedera akibat satu lagi serangan di Nakyal. Irfan Saleem, seorang pegawai polis tempatan, mengesahkan insiden tersebut.

Kematian itu dilaporkan sedang India menyatakan pada Selasa (26 Feb) bahawa ia melancarkan serangan-serangan udara terhadap sebuah kem militan di wilayah Pakistan. Ini menyusuli serangan nekad yang membunuh 40 askar rakyat India yang dilancarkan di Kashmir pada awal bulan ini.

Pakistan bagaimanapun menolak dakwaan India bahawa serangan itu menyebabkan kerosakan besar dan kematian para anggota militan yang bertanggunjawab ke atas serangan bom pada 14 Februari.

Pakistan turut menyifatkan dakwaan itu sebagai "berniat jahat dan palsu", sambil menambah bahawa ia akan bertindak balas tidak lama lagi.

Serangan itu merupakan serangan udara pertama yang dilancarkan oleh India terhadap Pakistan sejak 1971.

Ketegangan antara kedua-dua negara itu mencetuskan keprihatinan antarabangsa, dengan China dan Kesatuan Eropah menggesa kedua-dua pihak supaya bertenang.

Sumber : AFP/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan