Images
  • plane (3)
    (Gambar fail: REUETRS) 

Serangan roket Iran sasar pangkalan udara Iraq yang tempatkan tentera AS

SAMARRA: Puluhan roket membedil sebuah pangkalan udara Iraq di utara Baghdad di mana tentera Amerika Syarikat ditempatkan, menyebabkan empat askar tempatan cedera, menurut tentera Iraqi pada Ahad (12 Jan).

Menurut kenyataannya, lapan roket jenis Katyusha membedil pangkalan udara Al-Balad, mencederakan dua pegawai warga Iraq dan dua anggota tentera udara negara itu.

Al-Balad adalah pangkalan udara utama jet pejuang F-16 Iraq, yang dibeli dari Amerika Syarikat untuk mempertingkatkan keupayaan tentera udara negara itu.

Pangkalan itu menempatkan Angkatan Tentera Udara Amerika Syarikat serta para kontraktor warga Amerika, tetapi ramai yang sudah dipindahkan menyusuli ketegangan antara Amerika Syarikat dengan Iran sepanjang dua minggu yang lalu, menurut sumber tentera kepada AFP.

"Sekitar 90 peratus daripada penasihat Amerika Syarikat, pekerja Sallyport dan Lockheed Martin yang pakar dalam penyenggaraan pesawat, sudah dipindahkan ke Taji dan Erbil setelah bertalu-talu menerima ancaman," menurut sumber-sumber.

"Hanya tinggal sekitar 15 askar warga Amerika Syarikat dan sebuah pesawat di al-Balad," tambah sumber itu.

Pangkalan tentera yang menempatkan askar Amerika Syarikat diserang dengan roket dan bedilan meriam sejak beberapa bulan kebelakangan yang kebanyakannya mencederakan pasukan tentera Iraq, tetapi turut membunuh seorang kontraktor warga Amerika pada bulan lalu.

- REUTERS/NA/na

Top