Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Serangan pengganas Christchurch: Suspek anggap diri 'lelaki kulit putih biasa'

Bekas pelatih sebuah gimnasium dari Australia yang taksub dengan ideologi neo Nazi ketika mengembara ke Eropah, Brenton Tarrant menggambarkan dirinya sebagai "seorang lelaki berkulit putih biasa"sehingga dia tampil melakukan sesuatu di luar jangkauan.

Anggaran Waktu Membaca:
Serangan pengganas Christchurch: Suspek anggap diri 'lelaki kulit putih biasa'

Brenton Tarrant. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 16 Mar 2019 04:29PM Dikemas Kini : 16 Mar 2019 04:38PM

CHRISTCHURCH : Bekas pelatih sebuah gimnasium dari Australia yang taksub dengan ideologi neo Nazi ketika mengembara ke Eropah, Brenton Tarrant menggambarkan dirinya sebagai "seorang lelaki berkulit putih biasa" sehingga dia tampil melakukan sesuatu di luar jangkauan.

Penembak di sebalik pembunuhan beramai-ramai yang meragut 49 nyawa di dua masjid di New Zealand itu turut menunjukkan isyarat simbolik kuasa putih semasa muncul di mahkamah pagi tadi (16 Mac).

Dia bagaimanapun tidak berada dalam senarai pemerhatian pengganas atau memiliki sebarang rekod jenayah.

Tarrant, 28 tahun, membesar di pekan kecil Grafton di utara New South Wales dan menamatkan pengajian sekolah tinggi sebelum memperoleh kelayakan dalam bidang kesihatan yang membolehkannya bekerja di sebuah gimnasium tempatan pada tahun 2009.

Pemilik gimnasium, Tracey Gray menggambarkannya sebagai seorang pelatih yang rajin tetapi mula menunjukkan kelainan selepas mengembara ke Eropah dan Asia, termasuk ke Pakistan serta Korea Utara.

“Saya rasa ada sesuatu yang mengubah fikirannya ketika mengembara ke luar negara," kata Gray kepada stesen televisyen negara, ABC.

“Sekitar tempoh itu, ada pengalaman atau kumpulan tertentu yang berjaya mempengaruhi Tarrant,” tambah beliau.

Spekulasi Cik Gray terhadap Tarrant disokong oleh manifesto berunsur kebencian yang dihantar ke media sosial sebelum melakukan pembunuhan Christchurch.

Dalam manifesto setebal 74 halaman itu, Tarrant mendedahkan dia mula merancang untuk melakukan serangan pada April dan Mei 2017 semasa mengembara ke Perancis dan Eropah Barat.

Dia mengakui terkejut dengan ‘pencerobohan’ golongan pendatang di beberapa bandar Perancis dan 'sedih' apabila calon pro Eropah Emmanuel Macron menewaskan lawannya yang berhaluan kanan, Marine Le Pen.

Dua senjata separuh automatik yang diubahsuai - dilaporkan jenis AR-15 dan dua senapang patah antara senjata yang digunakan dalam pembunuhan beramai-ramai pada Jumaat.

Gambar-gambar senjata dengan tulisan tersendiri itu dimuat naik ke media sosial beberapa hari sebelum serangan berdarah 15 Mac. 

Sumber : AFP/SU/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan