Images
  • christchurch
    Polis New Zealand mengepung jalan raya dekat sebuah masjid di Linwood, Christchurch. (Gambar: Mark Baker/AP)

Serangan pengganas Christchurch: Kementerian Imigresen Mesir sahkan 4 rakyat negara itu terkorban

KAHERAH: Kementerian Imigresen Mesir mengesahkan empat rakyat negara itu terkorban dalam serangan pengganas di dua masjid di New Zealand pada Jumaat, lapor Xinhua.

Maklumat itu disahkan selepas kementerian menghubungi Kedutaan Besar Mesir di New Zealand pada Sabtu.

Menurut kenyataan kementerian, Duta Besar Mesir ke New Zealand Tarek el-Wassimy memaklumkan empat pekerja sudah ditugaskan bagi membantu keluarga mangsa. 

"Jenazah kesemua mangsa dijadual diterbangkan ke Mesir untuk urusan pengkebumian pada Selasa," menurut kenyataan itu.

Menurut duta itu lagi jumlah sebenar rakyat Mesir yang cedera belum dapat disahkan.

Menyusuli insiden menyayat hati itu, tiga suspek ditahan setakat ini oleh pihak berkuasa New Zealand dan seorang daripadanya dihadapkan ke mahkamah hari ini (16 Mac) kerana didakwa membunuh.

- BERNAMA/NA/na

Top