Images
  • wiranto
    Ketua Menteri Keselamatan Indonesia Wiranto diusung setelah ditikam pada 10 Okt 2019. (Gambar: Rafsanjani/AP)

Serangan ke atas Wiranto: Suspek berpura-pura mahu salam tangan sebelum menyerang

JAKARTA: Menteri Penyelaras Ehwal Politik, Undang-undang dan Keselamatan Indonesia Wiranto mengalami dua luka yang dalam di bahagian perutnya setelah diserang dalam satu percubaan membunuh oleh suspek yang disyaki penyokong ISIS hari ini (10 Okt).

Si penyerang - sepasang suami isteri - dikatakan berpura-pura mahu bersalaman tangan dengan Encik Wiranto sebelum tiba-tiba menusuknya. Senjata yang kemudiannya dirampas termasuklah pisau dan gunting.


Encik Wiranto kini menerima rawatan lanjut dan menjalani pembedahan di Hospital Tentera Gatot Soebroto di Jakarta. Ini merupakan kali pertama seorang ahli politik berjawatan tinggi seperti ini diserang sebegini sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Serangan berlaku pada 11.50 pagi (waktu Indonesia barat) ketika Encik Wiranto, 72 tahun, sedang melangkah keluar dari sebuah kereta setibanya beliau di taman Alun-alun Menes dekat Pandeglang untuk menghadiri acara bersama para penduduk di sana.

Tiga orang lain yang turut cedera dalam percubaan membunuh itu.

Gambar-gambar disiarkan di televisyen menunjukkan para pegawai keselamatan bergelut dengan seorang lelaki dan seorang wanita di luar sebuah universiti di Pandeglang, dekat pulau Jawa, menyusuli serangan ke atas Encik Wiranto.


"Orang tidak dikenali menghampiri beliau dan menyerangnya," kata seorang jurucakap polis negara, Dedi Prasetyo, sambil menambah bahawa pasangan berkenaan sudahpun diberkas.

Kedua-dua suspek itu tergolong dalam rangkaian pengganas berkaitan ISIS iaitu Jamaah Ansharut Daulah (JAD), kata Ketua Agensi Risikan Negara Budi Gunawan.

"Kami dapat mengenal pasti para pelaku sebagai anggota JAD," katanya kepada para wartawan di Jakarta.

Suspek-suspek yang ditahan itu ialah Syahril Alamsyah, 31 tahun, dan Fitri Andriana Sunarto, 21 tahun.

Jurucakap Hospital Berkah, Firmansyah, berkata mantan jeneral berkenaan dalam keadaan sedar dan stabil selepas insiden tersebut.

Encik Wiranto - menurut polis adalah salah seorang daripada sasaran dalam plot pembunuhan yang gagal awal tahun ini - kemudian dikejarkan ke ibu kota Jakarta menaiki helikopter.

Sementara itu, memberikan responsnya terhadap insiden tersebut, Presiden Joko Widodo mengajak masyarakat untuk memerangi pengganasan.

"Kepada seluruh masyarakat, kami ajak bersama-sama untuk memerangi radikalisme, memerangi terorisme yang ada di tanah air kita," kata Encik Jokowi di Paviliun Kartika, RSPAD Gatot Subroto, Jakarta pada Khamis.

Menurut Presiden Indonesia itu, usaha bersepadu oleh seluruh masyarakat diperlukan untuk menentang radikalisme.


Encik Jokowi juga menjelaskan Encik Wiranto pada saat ini dalam keadaan sadar dan akan menjalani operasi bedah.

Beliau turut mengarahkan Ketua Polis Negara Jeneral Tito Karnavian supaya menyediakan langkah-langkah keselamatan lebih baik kepada para pegawai negara.

"Yang paling penting jaringan ini harus dikejar dan dituntaskan, diselesaikan," tegas Encik Jokowi.

Presiden Jokowi juga mengarahkan diselesaikan secara tuntas insiden penusukan kepada Encik Wiranto, selain mahukan siasatan menyeluruh dilakukan berhubung insiden serangan tersebut. 

- AFP/BERNAMA/Agensi berita/FZ/fz

Top