Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Serangan jantung punca kematian pemuda dipukul perusuh di India

Satu dokumen yang ditandatangani oleh lima ketua jabatan sebuah kolej perubatan di Jamshedpur, India mengesahkan seorang lelaki, Encik Tabrez Ansari, 24 tahun maut akibat serangan jantung.

Anggaran Waktu Membaca:
Serangan jantung punca kematian pemuda dipukul perusuh di India

Tindakan polis menangani kes kematian Encik Tabrez Ansari mencetuskan perbalahan di media sosial. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 13 Sep 2019 02:14PM Dikemas Kini : 13 Sep 2019 02:40PM

PATNA: Satu dokumen yang ditandatangani oleh lima ketua jabatan sebuah kolej perubatan di Jamshedpur, India mengesahkan seorang lelaki, Tabrez Ansari, 24 tahun, maut akibat serangan jantung, dipercayai berpunca daripada kecederaan teruk yang dialaminya termasuk keretakan pada bahagian tempurung kepalanya.

Menurut laporan NDTV, kesemua lima ketua jabatan itu merupakan para anggota pasukan siasatan khas yang ditubuhkan bagi mengenal pasti punca kematian Encik Tabrez Ansari.

Beliau diserang oleh sekumpulan perusuh di daerah Seraikela Kharswan di wilayah Jharkhand kerana disyaki mencuri.

Rakaman-rakaman video di tempat kejadian menunjukkan mangsa dibelasah dan dipaksa melaungkan slogan yang lazim digunakan pelampau Hindu, lapor NDTV.

Polis menyelamatkan beliau pada awal pagi 18 Jun dan kemudian membawanya ke hospital. Seorang doktor membuat imbasan X-ray pada bahagian kakinya kerana beliau mengadu kesakitan, namun keretakan pada bahagian tempurung kepala tidak dikesan sehinggalah bedah siasat dilakukan.

Menurut para doktor di hospital itu, Encik Tabrez tidak mengadu tentang sebarang kesakitan di bahagian kepalanya.

Malah, beliau berjalan keluar dari hospital itu dan kemudian memasuki sebuah van polis dan dibawa ke penjara.

Encik Tabrez bagaimanapun meninggal dunia di hospital empat hari selepas diserang, diikat pada tiang dan dibelasah kerana kononnya mencuri.

"Keretakan pada tulang mangsa disebabkan oleh objek tumpul. Kesan daripada kecederaan itu, ditambah bengkak pada organ dalaman, mencetuskan serangan jantung," menurut dokumen tersebut.

Sementara itu, polis berkata laporan perubatan tersebut membuktikan mangsa mati bukan akibat dibunuh. Bagaimanapun, laporan itu dan tindakan polis dalam menangani kes berkenaan mencetuskan perbalahan di media sosial.

Keluarga mangsa pula mendakwa Encik Tabrez mungkin mati akibat pukulan kuat pada bahagian kepalanya.

Seorang pegawai polis kanan di Jharkhand, Karthik S, memberitahu NDTV bahawa dua laporan bedah siasat yang berasingan menentukan punca kematian yang sama - iaitu Encik Tabrez meninggal dunia akibat serangan jantung.  

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan