Images
  • london bridge 2
    Pegawai polis berjalan berhampiran tapak insiden tikaman di Jambatan London di London, Britain, pada 29 Nov 2109. (Gambar: Peter Nicholls/REUTERS)

Serangan Jambatan London: ISIS mengaku bertanggungjawab

LONDON: Kumpulan pengganas ISIS mengaku serangan tikaman di Jambatan London pada Jumaat (29 Nov) dijalankan salah seorang anggotanya. Demikian menurut laporan agensi berita miliknya, Amaq pada Sabtu. Namun, tiada bukti diberikan bagi menyokong dakwaan tersebut.

Ia menambah serangan tersebut dilakukan sebagai menyahut seruan ISIS untuk menyasarkan negara-negara yang menjadi anggota perikatan memerangi kumpulan tersebut.

Polis Britain pada Jumaat menembak mati seorang lelaki yang memakai ves bom nekad palsu setelah dia menikam dua mangsa sehingga maut di London. Tiga lagi cedera dalam insiden tikaman itu sebelum suspek bergelut dan diserang beberapa individu di situ. Pihak berkuasa menyifatkan insiden tersebut sebagai satu serangan pengganas.

Tiga orang masih dirawat di hospital dengan dua daripadanya dalam keadaan stabil. Mangsa ketiga mengalami kecederaan ringan, menurut Khidmat Kesihatan Nasional.

Usman Khan, 28, yang ditembak mati oleh polis, dijatuhkan hukuman penjara pada 2012 atas kesalahan berkaitan pengganasan. Namun dia dibebaskan dengan bersyarat pada Disember 2018.

Ketua parti pembangkang utama Jeremy Corbyn, membidas dasar hukuman yang dikenakan kerajaan.

"Siasatan penuh harus dijalankan," kata Encik Corbyn yang sedang berusaha untuk menyingkirkan Perdana Menteri Boris Johnson dalam pilihan raya pada 12 Dis.

Awal sebelum itu, Encik Johnson berkata serangan tikaman di Jambatan London adalah satu tindakan pengganas dan berikrar untuk menamatkan amalan yang membolehkan pesalah jenayah serius dibebaskan awal dari penjara secara automatik.

Beliau berkata, mereka yang disabit kesalahan pengganasan serius harus wajib dihukum penjara 14 tahun.

- REUTERS/FZ/fz

Top