Images
  • dengi
    Gambar nyamuk Aedes. (Gambar: AFP)

Sepanyol sahkan kes jangkitan denggi pertama melalui seks

MADRID: Pihak berkuasa kesihatan Sepanyol mengesahkan pada Jumaat (8 Nov) kes seorang lelaki menyebarkan denggi menerusi hubungan seks, kali pertama di dunia bagi virus yang setakat ini cuma dipercayai menular oleh nyamuk.

Kes itu membabitkan lelaki berusia 41 tahun dari Madrid, yang dijangkiti denggi selepas mengadakan hubungan seks dengan teman lelakinya yang mendapat virus itu daripada gigitan nyamuk ketika melancong ke Cuba, kata jurucakap jabatan kesihatan wilayah Madrid, Susana Jiminez.

Jangkitan denggi itu disahkan September lalu dan ia membingungkan doktor kerana lelaki tersebut tidak mengunjungi negara yang kerap dilanda penyakit yang menunjukkan gejala seperti demam panas dan sakit badan, katanya.

“Pasangannya menunjukkan gejala sama tetapi lebih ringan kira-kira 10 hari sebelumnya, dan beliau dijangkiti denggi ketika di Cuba dan Republik Dominica.

“Analisis menunjukkan sperma mereka membawa virus itu dan mendedahkan mereka bukan hanya dijangkiti denggi tetapi ia adalah virus sama yang ada di Cuba,” kata Cik Jiminez.

‘Kemungkinan’ kes penularan denggi secara seksual antara lelaki dan perempuan menjadi tajuk artikel saintifik di Korea Selatan.

Dalam emel yang dihantar kepada AFP, Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Kesatuan Eropah (ECDC) menyatakan sepanjang "pengetahuan mereka, ia adalah kes pemindahan denggi menerusi seks pertama dalam kalangan lelaki dan lelaki."

Pusat yang memantau kesihatan dan penyakit di Eropah itu beribu pejabat di
Stockholm.

Denggi amat mudah dijangkiti oleh pelancong yang mengunjungi negara bercuaca panas seperti Asia Tenggara, Afrika, Australia, Caribbean, Amerika Tengah dan Amerika Selatan.  

- AFP/SU/fz

Top