Images
  • drown lemas
    (Gambar hiasan: BERNAMA)

Seorang lelaki lemas, rakan masih hilang di laut di Perak

LUMUT: Kegembiraan lapan lelaki bercuti di Pantai Teluk Batik, di sini, berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka lemas manakala seorang lagi masih belum ditemui ketika bermandi-manda di kawasan peranginan itu, pada Ahad petang (28 Jun).

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Manjung Abdul Hazhar Ismail berkata mangsa, S.Emmanuel Raj, 21, ditemui pada 6.55 petang manakala rakannya, R.Vigneis, 22, masih hilang.

Beliau berkata lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 6.10 petang.
Katanya, mayat mangsa ditemui kira-kira pukul 6.55 petang selepas dihanyut arus ombak ke tepi pantai di kawasan berhampiran.

"Mangsa diberikan bantuan awal pernafasan oleh pasukan perubatan sebelum disahkan meninggal dunia manakala rakannya masih hilang.

"Setakat ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) giat dijalankan dalam radius 50 meter dari pantai dan lokasi dia dikatakan hilang. Mayat mangsa juga telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, pada Ahad malam.

Mengulas lanjut, Encik Abdul Hazhar berkata, difahamkan, kedua-dua rakan berkenaan pergi ke kawasan peranginan terbabit bersama enam lagi rakan mereka untuk melakukan aktiviti bermandi-manda.

Sementara itu, rakan mangsa, S.Rishethirabalan, 22, berkata dia bersama rakan-rakan tiba di Teluk Batik dari Ipoh pada pukul 2.30 petang.

"Ketika kejadian saya bersama lima rakan termasuk dua mangsa sedang mandi di pantai namun secara tiba-tiba ombak besar datang menarik kami.

"Saya hanya sempat menyelamatkan seorang rakan saja kerana sudah sesak nafas dan letih, manakala yang lain dapat selamatkan diri dengan berenang ke tepi pantai cuma mereka (kedua-dua mangsa) tidak dapat diselamatkan," katanya.

- BERNAMA/TQ/tq

Top