Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sentuhan kreatif restoran M'sia ini ubati kerinduan pelanggan naik pesawat

Situasi pandemik COVID-19 yang tidak membolehkan orang ramai menaiki pesawat selama hampir dua tahun menjadi inspirasi kepada seorang usahawan tempatan di Sabah untuk membuka sebuah restoran yang berkonsepkan lapangan terbang.

Anggaran Waktu Membaca:
Sentuhan kreatif restoran M'sia ini ubati kerinduan pelanggan naik pesawat

Gambar: Facebook/Airport Lounge Bistro

Diterbitkan : 26 Oct 2021 07:58PM Dikemas Kini : 26 Oct 2021 08:32PM

PENAMPANG: Situasi pandemik COVID-19 yang tidak membolehkan orang ramai menaiki pesawat selama hampir dua tahun menjadi inspirasi kepada seorang usahawan tempatan di Sabah untuk membuka sebuah restoran yang berkonsepkan lapangan terbang.

Meskipun sempadan antara negeri sudah dibuka, malah beberapa negara juga sudah memberi lampu hijau untuk rakyat Malaysia melancong, namun masih ramai yang sedang menanti peluang untuk merasai pengalaman itu.

Di Airport Lounge Bistro yang terletak di Penampang, Sabah, pelayan dan pekerja restoran sedia menyambut pengunjung dengan mengenakan pakaian seperti pramugari dan juruterbang.
Menurut Pengarah Urusan Signitive Holdings, Sunny Yeoh, dia membuka perniagaan berkenaan untuk mengubati kerinduan pelanggan yang sebelum ini sudah lama tidak merasakan suasana berada di dalam pesawat dan lapangan terbang.

"Idea ini kita mulakan sebabkan kita sudah lama tidak travel…dekat dua tahun. Sebab itulah saya buat restoran berkonsep suasana lapangan terbang ini supaya mereka dapat rasa macam sedang melancong. Uniform pekerja di sini juga kami tempah khas," ujar Sunny ketika ditemui Astro AWANI di Plaza 333, Penampang.

Sambil berkongsi mengenai kelainan yang terdapat di Airport Lounge Bistro, Sunny turut memaklumkan Astro AWANI bahawa restoran yang baru dibuka sekitar dua bulan lalu itu menyajikan hampir 40 menu masakan membabitkan beberapa negara termasuk Amerika Syarikat dan Thailand serta cita rasa tempatan.
Bercerita tentang keunikan restorannya itu, Sunny yang sudah hampir lima tahun melibatkan diri dalam perniagaan makanan dan minuman (F&B) turut menawarkan keahlian kepada pelanggan mengikut kelas penerbangan iaitu keahlian kelas pertama, kelas perniagaan dan ekonomi yang dicetak seperti pasport peribadi.

"Membership (keahlian) yang kita tawarkan ini berdasarkan konsep lapangan terbang, jadi kita berfikirlah, macam mana hendak jadikan ia lebih terasa di lapangan terbang. Sebab itu kami perkenalkan pasport.

"Pasport ini kami berikan terus pada pelanggan yang mengisi nilai RM300 di restoran kami. Jadi, setiap kali mereka datang, perbelanjaan boleh ditolak dari kredit itu. Kalau lupa bawa pasport untuk kedatangan seterusnya, juga tidak ada masalah kerana kami boleh rujuk kepada nama dan nombor telefon yang didaftarkan," jelas Sunny.
Sementara itu, Sunny memaklumkan, membuka suatu perniagaan baru dalam situasi pandemik COVID-19 bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Namun dia tetap meletakkan tekad dan yakin mampu mengatasinya selain melihat semakin banyak sektor ekonomi yang sudah dibuka ketika ini.

"Saya rasakan memang majoriti takut mahu buat bisnes dalam tempoh pandemik. Sebab itu kita perlu betulkan mentaliti, sama ada kita mahu mencari kaedah ataupun mencari alasan.

"Kalau kita balik-balik cari alasan, kita memang boleh salahkan pandemik, boleh salahkan COVID-19. Tapi, padahal masa pandemik inilah banyak bisnes makan masih maju. Jadi, saya punya mentaliti adalah - kalau ada masalah, kita selesaikan masalah itu dan jangan mencari alasan," katanya kepada Astro AWANI.

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan