Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

"Semua yang kami miliki kini terkubur" - rumah tua Sana'a musnah akibat cuaca buruk

Rumah-rumah di Kota Tua Sana'a, Yaman yang disenaraikan dalam daftar UNESCO diancam roboh akibat dibadai ribut dan banjir selama berbulan-bulan serta hujan lebat yang terus turun.

Anggaran Waktu Membaca:
"Semua yang kami miliki kini terkubur" - rumah tua Sana'a musnah akibat cuaca buruk

Para pekerja pada 8 Ogos 2020 ratakan bangunan di Sana'a, Yaman yang rosak teruk akibat hujan lebat (Gambar: REUTERS/Khaled Abdullah)

Diterbitkan : 10 Aug 2020 10:58PM Dikemas Kini : 10 Aug 2020 11:04PM

SANA'A: Rumah-rumah di Kota Tua Sana'a, Yaman yang disenaraikan dalam daftar UNESCO diancam roboh akibat dibadai ribut dan banjir selama berbulan-bulan serta hujan lebat yang terus turun.

Rumah-rumah diperbuat dari batu-bata lumpur berwarna coklat dan putih itu mempunyai seni bina unik dan luar biasa sebelum abad ke-11.

Bangunan di kawasan bersejarah Sana'a itu telah lama terabai dan diancam konflik.

Sebahagian rumah milik Muhammad Ali al-Talhi misalnya roboh pada Jumaat (7 Ogos) ketika hujan lebat, sekaligus menyebabkan beliau berserta enam wanita dan enam anak dalam keluarganya kehilangan tempat tinggal.

"Semua yang kami miliki kini terkubur," katanya di kawasan rumah yang kini dikelilingi puing-puing bangunan tua, sambil merayu bantuan untuk mencari tempat perlindungan.

Menurut Aqeel Saleh Nassar, timbalan ketua Penguasa Pemeliharaan Bandar Bersejarah, warga hari ini tidak memelihara bangunan lama seperti dilakukan pada masa lalu. Akibatnya, terjadi keretakan dan bangunan menjadi tidak kuat dan mudah roboh.

Sekitar 5,000 bangunan tinggi di bandar lama itu mempunyai atap yang bocor dan 107 lainnya dalam keadaan setengah roboh, katanya. Pihak berkuasa juga bekerjasama dengan UNESCO dan badan dana lain untuk memelihara beberapa bangunan.

Hujan lebat luar biasa tahun ini, yang bermula pada tengah April dan dijangka berlarutan hingga awal September, memburukkan lagi keadaan di negara itu yang disifatkan oleh PBB sebagai krisis kemanusiaan paling teruk di dunia.

Perang saudara selama lima tahun telah mengorbankan lebih 100,000 jiwa, dan menyebabkan 80 peratus penduduk bergantung pada bantuan.

Selain itu, jutaan lagi penduduk diancam kebuluran.

Selain COVID-19, yang dipercayai sebahagian besarnya menular tanpa dikesan, hujan lebat turut menyebarkan pelbagai penyakit seperti kolera, demam denggi dan malaria.

Kumpulan pemberontak Houthi yang menguasai Sana'a sejak mengusir pemerintahan Yaman disokong Arab Saudi pada hujung 2014, meminta UNESCO pada minggu ini untuk menyelamatkan warisan di kota itu.

Mereka menyatakan sekitar 111 rumah sudah runtuh sama sekali atau sebahagiannya dalam tempoh beberapa minggu lalu.

Penduduk Sana'a, Adel San'ani pada Sabtu (8 Ogos) memberitahu Reuters bahawa beliau melihat lima rumah rosak teruk pada hujung minggu lalu.

"Keluarga-keluarga itu tidak mempunyai tempat untuk berlindung. Sebuah bank tempatan melancarkan kempen mengedarkan kepingan plastik untuk dijadikan atap," katanya.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan