Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

"Semua berjalan lancar", kata Trump selepas hubungi Presiden Korea Selatan

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata "semuanya berjalan lancar" setelah beliau bercakap dengan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in, tentang sidang puncak bersama pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.

Anggaran Waktu Membaca:
"Semua berjalan lancar", kata Trump selepas hubungi Presiden Korea Selatan

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. (Gambar fail: AFP/Mandel Ngan)

Diterbitkan : 29 Apr 2018 09:56AM Dikemas Kini : 29 Apr 2018 10:01AM

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata "semuanya berjalan lancar" setelah beliau bercakap dengan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in, tentang sidang puncak bersama pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.

"Saya baru sahaja berbual panjang dengan Presiden Moon dari Korea Selatan. Semuanya berjalan lancar, masa dan lokasi mesyuarat dengan Korea Utara sedang ditetapkan," menurut Encik Trump di laman Twitternya semalam (28 Apr).

"Saya juga bercakap dengan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe untuk memaklumkan kepadanya tentang rundingan yang masih dijalankan," tambah beliau.

Encik Moon mengadakan pertemuan dengan Encik Kim dalam satu sidang puncak bersejarah pada Jumaat lalu (27 Apr). Kedua-duanya berikrar untuk mewujudkan perdamaian berkekalan serta melucutkan senjata nuklear sepenuhnya di semenanjung Korea.

Satu perjanjian genjatan senjata mengakhiri peperangan di semenanjung Korea pada tahun 1953 namun 65 tahun kemudian perjanjian muktamad bagi perdamaian masih belum tercapai.

Rakaman panggilan telefon Trump-Moon yang dikeluarkan Rumah Putih menyatakan Amerika Syarikat dan Korea Selatan bekerjasama menjelang pertemuan Encik Moon dengan Encik Kim.

Ia menambah Encik Trump dan Encik Moon "bersetuju tekanan, yang belum pernah dilakukan sebelum ini, oleh Amerika Syarikat, Republik Korea dan masyarakat antarabangsa menerusi Kempen Tekanan Maksimum global sudah membawa kepada detik bersejarah itu".

Bacaan tentang panggilan Encik Trump kepada Encik Abe pula menyatakan para pemimpin "menekankan perlunya Korea Utara melucutkan semua senjata pemusnah besar-besaran dan program peluru berpandu balistik" dan Encik Trump mengatakan "beliau akan menggesa Korea Utara supaya segera menghuraikan isu penculikan rakyat Jepun".

Sementara Encik Trump bercakap kepada Presiden Korea Selatan, Setiausaha Pertahanan Jim Mattis pula bercakap kepada Menteri Pertahanan Negara Korea Selatan, Song Young-moo tentang sidang puncak baru-baru ini.

"Setiausaha Mattis mengesahkan komitmen penuh Amerika Syarikat untuk mempertahankan (Korea Selatan) dengan menggunakan keseluruhan keupayaannya," menurut bacaan itu.

Pertemuan Encik Moon dan Encik Kim meningkatkan jangkaan terhadap perancangan Encik Trump sendiri untuk mengadakan sidang puncak dengan pemimpin Korea Utara itu. Tarikh dan lokasinya bagaimanapun belum ditetapkan.

Mongolia dan Singapura merupakan dua lokasi yang sedang dipertimbangkan bagi sidang puncak tersebut, menurut laporan CBS News.

Namun Perdana Menteri Lee Hsien Loong semalam berkata sejauh ini belum ada sebarang permintaan rasmi untuk menjadikan Singapura sebagai tuan rumah bagi sidang puncak itu.

Tahun lalu, Pyongyang menjalankan ujian nuklear keenam, yang paling berkuasa sejauh ini serta melancarkan peluru berpandunya yang berupaya sampai ke Amerika Syarikat.

Tindakan tersebut meningkatkan lagi ketegangan dengan Encik Kim dan Encik Trump saling bertikam lidah dan mengancam untuk berperang.

Encik Trump menuntut agar Korea Utara melucutkan senjatanya dan Washington menggesa ia dilakukan dengan lengkap, boleh disahkan dan tidak boleh diubah.

Pyongyang pula menuntut jaminan keselamatan, yang belum ditentukan, untuk membincangkan tentang senjatanya. 

Sumber : AFP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan