Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sembunyi dalam mesin bancuh simen, dokumen palsu... helah mudik jelang Aidilfitri

Indonesia memberi tumpuan kepada masalah penyeludupan dan dokumen perjalanan palsu untuk kegiatan mudik menjelang Aidilfitri yang boleh menyebabkan penularan COVID-19 terus melonjak di negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Sembunyi dalam mesin bancuh simen, dokumen palsu... helah mudik jelang Aidilfitri

Gambar fail. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 23 May 2020 06:34PM Dikemas Kini : 23 May 2020 06:39PM

JAKARTA: Indonesia memberi tumpuan kepada masalah penyeludupan dan dokumen perjalanan palsu untuk kegiatan mudik menjelang Aidilfitri yang boleh menyebabkan penularan COVID-19 terus melonjak di negara itu.

Ribuan penduduk dilihat sanggup menggunakan pelbagai helah untuk balik kampung bagi menyambut Hari Raya.

"Ini adalah waktu kritikal,"kata ketua pasukan bertindak menangani COVID-19 Indonesia, Doni Monardo.

"Saya bimbang mereka yang bergerak ke rantau lain akan pulang bersama jangkitan dan segala usaha kita menjadi sia-sia."

Setiap tahun, berjuta-juta penduduk membanjiri lapangan terbang, stesen kereta api dan pelabuhan untuk mudik besar-besaran sempena perayaan sama seperti ketika cuti Tahun Baru Cina atau Krismas.

Bimbang akan risiko berlakunya bencana kesihatan awam, pemerintah pada bulan lalu menguatkuasakan larangan perjalanan udara dan laut domestik, selain mengadakan sekatan jalan raya untuk mengekang pergerakan rentas negeri.

Indonesia kemudian melonggarkan peraturan berkenaan kerana bimbang ia boleh melumpuhkan ekonomi terbesar Asia Tenggara itu.
Namun kelonggaran itu hanya untuk mereka yang terbukti bebas jangkitan virus korona dan mempunyai alasan profesional untuk melakukan perjalanan.

Polis turut bergelut dengan penjualan dokumen perjalanan palsu secara online dan yang diuar-uarkan dari mulut ke mulut.

Pada minggu lalu, pihak berkuasa di Bali menahan tujuh orang disyaki menjual dokumen palsu.

Pasar-pasar pula padat dengan pengunjung yang berbelanja untuk persiapan menyambut Aidilfitri.

Pelanggaran ketetapan jarak sosial itu menyaksikan sebilangan pengguna media sosial meluahkan perasaan marah kerana kecewa dengan sikap penduduk yang mengingkari peraturan.

Namun, ia gagal mencegah sebilangan individu yang dilaporkan sanggup menyorok di dalam kenderaan dan mesin bancuh simen semata-mata untuk melepasi sekatan polis.

Menurut pihak berkuasa, mereka telah menahan ratusan pemandu yang menerima upah untuk menyeludup penduduk yang hendak balik kampung.

"Ada banyak tipu helah yang cuba digunakan oleh orang ramai ke atas polis," kata jurucakap polis Jakarta, Yusri Yunus.

"Kami bukan cuba menyusahkan hidup mereka. Ini semua bertujuan mengurangkan penularan COVID-19," tambahnya.

Indonesia mencatat lonjakan terbesar dalam tempoh sehari untuk kes COVID-19, minggu ini, dengan jumlah kematian mencecah 1,326 mangsa - tertinggi di luar China dalam rantau Asia.

Namun, jumlah jangkitan dan kematian dipercayai jauh lebih tinggi di negara itu yang mempunyai lebih 260 juta penduduk dengan kadar ujian saringan antara yang terendah di dunia.  

Sumber : AFP/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan