Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Semakin ramai sertai bantahan di Myanmar sedang tentera ancam kekerasan

Meskipun jalan-jalan raya di sekitar kedutaan Amerika Syarikat di Yangon dihadang, lebih seribu orang mengadakan tunjuk perasaan di sana, sedang 20 lori tentera dan polis rusuhan tiba.

Anggaran Waktu Membaca:
Semakin ramai sertai bantahan di Myanmar sedang tentera ancam kekerasan

Para penunjuk perasaan di Myanmar pada 22 Feb 2021. (Gambar: Naung Kham)

Diterbitkan : 22 Feb 2021 04:55PM Dikemas Kini : 22 Feb 2021 04:58PM

YANGON: Para penunjuk perasaan di bandar terbesar Myanmar pada Isnin (22 Feb) terus berhimpun meskipun pemerintah tentera memberi bayangan ancaman kekerasan jika rakyat menyahut seruan agar menyertai mogok menentang rampasan kuasa tentera pada 1 Februari.

Meskipun jalan-jalan raya di sekitar kedutaan Amerika Syarikat di Yangon dihadang, lebih seribu orang mengadakan tunjuk perasaan di sana, sedang 20 lori tentera dan polis rusuhan tiba.

Para penunjuk perasaan itu berhimpun setelah para penyokong Gerakan Keingkaran Awam, iaitu sebuah kumpulan yang menerajui tunjuk perasaan itu, mengajak orang ramai bersatu hari ini untuk mengadakan "Revolusi Musim Bunga".

Junta memberi amaran terhadap tunjuk perasaan itu menerusi satu pengumuman awam pada Ahad lalu (14 Feb) dalam satu siaran televisyen MRTV.

"Kami dapati para penunjuk perasaan menghasut ke arah rusuhan dan huru-hara pada 22 Februari. Para penunjuk perasaan kini menghasut orang ramai, terutamanya para remaja dan belia yang penuh emosi, supaya mengadakan konfrontasi yang akan melibatkan kehilangan nyawa," menurut sari kata bahasa Inggeris bagi pengumuman dalam bahasa Burma.

Kenyataan junta itu juga menyalahkan para penjenayah bagi keganasan dalam bantahan lalu, menyebabkan "pasukan keselamatan bertindak balas". Tiga penunjuk perasaan telah ditembak mati setakat ini.

Gerakan bantahan itu dijalankan secara aman dan hanya sekali-sekala terdapat pertembungan dengan polis dan mereka melempar botol-botol apabila polis melakukan provokasi.

Di Yangon, lori-lori dilihat berada di jalan-jalan raya malam semalam memberi amaran supaya jangan menyertai perhimpunan lima atau lebih orang. Larangan bagi perhimpunan sedemikian dikeluarkan sejurus selepas tentera merampas kuasa tetapi ia tidak dikuatkuasakan secara meluas sedang tunjuk-tunjuk perasaan dijalankan.

Semalaman, pihak berkuasa juga cuba menyekat jalan-jalan raya utama dengan meletakkan penghadang tetapi ia ditolak oleh para penunjuk perasaan.

Tanda-tanda konflik mungkin tercetus menarik perhatian negara-negara lain, dengan Amerika Syarikat menekankan bahawa ia bersama rakyat Myanmar.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken menerusi catatan Twitternya menyatakan, AS akan mengambil tindakan tegas "ke atas mereka yang melakukan keganasan ke atas orang-orang Burma sedang mereka menuntut agar pemerintah yang dilantik secara berdemokrasi dikembalikan".

Junta itu menghalang Parlimen daripada diadakan pada 1 Februari, mendakwa bahawa pilihan raya bulan November lalu, yang dimenangi parti Cik Aung San Suu Kyi, dicemari penipuan.

Junta kemudian menyatakan pilihan raya baru akan diadakan dalam setahun. 

Sumber : AP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan