Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Semakin ramai pendaki hilang di Gunung Ledang, hutan Johor

Statistik yang dikeluarkan Pusat Gerakan Operasi JBPM Negeri Johor menunjukkan jumlah mangsa yang hilang di hutan semakin meningkat sejak tiga tahun kebelakangan ini dan situasi itu agak membimbangkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Semakin ramai pendaki hilang di Gunung Ledang, hutan Johor

(Gambar: Johor.my)

Diterbitkan : 12 Jun 2019 01:14AM Dikemas Kini : 12 Jun 2019 01:15AM

MUAR: Statistik yang dikeluarkan Pusat Gerakan Operasi JBPM Negeri Johor menunjukkan jumlah mangsa yang hilang di hutan semakin meningkat sejak tiga tahun kebelakangan ini dan situasi itu agak membimbangkan.

"Seramai 94 mangsa yang terdiri daripada warga tempatan dan warga asing telah dilaporkan hilang di hutan sejak tahun 2016 hingga 2018,” kata Penolong Pengarah Bahagian Latihan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Siti Hajar Sanusi kepada Bernama, ketika latihan ikhtiar hidup di Gunung Ledang baru-baru ini.

Dalam tempoh tiga tahun itu (2016-2018), antara kawasan gunung di Johor yang mencatat kes paling banyak adalah Gunung Lambak, Kluang (10 kes); Hutan Lipur Gunung Pulai, Kulai (8 kes) dan Gunung Panti, Kota Tinggi (8 kes).

“Kita dapati antara faktor utama pendaki hilang di hutan disebabkan pendaki tidak menggunakan khidmat malim gunung untuk sampai ke puncak dan mereka lebih memilih untuk membuka jalan sendiri dengan alasan ia dilihat mencabar kekuatan mental dan fizikal masing-masing,” katanya.

Cik Siti Hajar berkata jabatannya juga tertakluk kepada prosedur tersendiri dalam operasi menyelamat kerana selain JBPM, Jabatan Hutan, Renjer Taman Negara, pihak polis dan tentera juga turut terlibat dalam operasi menyelamatkan mangsa yang hilang di hutan.

“Kebiasaannya, JBPM akan menjadi 'first responder' (yang pertama bertindak) dan diberi masa hanya seminggu untuk mencari mangsa yang hilang di hutan. Dalam masa seminggu itu, pihak kami perlu memahami peta kawasan kejadian, meneliti kawasan berbahaya dalam hutan tersebut dan melakukan operasi pencarian,” katanya.

Tambahnya, proses untuk menyelamatkan mangsa perlu dilakukan dengan teliti, lebih-lebih lagi di kawasan yang jarang dilawati pengunjung bagi mengelakkan perkara buruk menimpa pasukan penyelamat.

Dalam pada itu, Cik Siti Hajar sempat memberikan tips bahawa sekiranya hilang di hutan, carilah anak sungai yang berhampiran dan menyelusuri sungai berkenaan mengikut arus untuk mencari jalan keluar dari kawasan hutan.

“Sungai secara semula jadinya akan mengalir ke kawasan yang lebih rendah, jadi bila kita ikut aliran sungai tersebut secara tidak langsung kita akan dibawa ke kawasan penempatan manusia,” katanya.

Dalam pada itu, para anggota bomba dilatih untuk mengambil masa hanya dua jam untuk sampai ke puncak Gunung Ledang di sini berbanding pendaki biasa yang lazimnya mengambil masa tiga hingga empat jam.

Ia adalah sebahagian daripada latihan untuk memantapkan diri anggota bomba bagi menangani kes pendaki hilang.

Menurut Cik Siti Hajar, setiap tahun pihaknya akan mengadakan tiga kali kursus operasi menyelamat mangsa di hutan atau “malim gunung” bagi membiasakan anggotanya dengan keadaan kejadian sebenar.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan