Images
  • cambodia1
    Muslim Aid Kemboja membantu penduduk kampung seperti Cik Man Yan di Kampung Tralach dengan ilmu ternakan lembu.

Selain derma daging korban, mengapa tidak derma pula lembu hidup demi bantu orang miskin?

PHNOM PENH: Demi membantu keluarga dan masyarakat muslim yang miskin di negara luar - seperti di Kemboja - ramai rakyat Singapura melakukan ibadah korban di sana.

Saban tahun, dari habuan makanan kepada sumbangan wang, sifat ihsan rakyat Singapura terserlah dalam usaha membantu masyarakat Islam memerlukan di Kemboja.

Namun mengapa setakat memberikan mereka daging korban yang boleh habis dimakan dalam beberapa hari sahaja?

Jika membantu golongan miskin menjadi matlamat dan motifnya, mengapa tidak kita menganjak setapak lagi. Iaitu dengan menderma lembu atau kambing hidup kepada mereka, dan bukan daging yang sudah disembelih sahaja.

Ini kerana menderma kambing atau lembu hidup boleh menjadi satu kaedah bantuan yang lebih kekal dan berpanjangan untuk menyara kehidupan sesebuah keluarga miskin atau memerlukan.

LEMBU JANTAN & LEMBU BETINA SEBAGAI ASET KEHIDUPAN

Itulah konsep bantuan yang kini diterapkan badan Muslim Aid Kemboja, dalam usaha memajukan daya kehidupan penduduk kampung di wilayah Kampong Chhnang.

Menurut Pengarah Muslim Aid Kemboja, Encik Khairul Hafiz, setiap keluarga yang terpilih untuk menerima bantuan itu mendapat derma dua ekor lembu - seekor jantan dan seekor betina - untuk dijadikan aset bagi kehidupan mereka. Setiap lembu berharga S$475.

Dengan derma lembu itu serta latihan intensif lima hari tentang ilmu penternakan lembu, mereka dipupuk menjadi penternak kecil-kecilan sebagai mata pencarian.


"Mereka harus menjaga dua lembu ini selama lima tahun. Jadi setiap tahun ia akan mendapat anak lembu, anak lembu ini boleh dijual selepas setahun dua, itulah pendapatan mereka," jelas Encik Hafiz.

JUAL LEMBU, MANFAAT BAJA LEMBU

Yang jelas, para penduduk di daerah Kampong Tralach di wilayah Kampong Chhnang gembira dengan konsep pemberdayaan seperti itu.


Penternak lembu bernama Kuch Sophal berkongsi kepada BERITAmediacorp: "Dulu saya duduk di rumah. Tapi pendermaan lembu ini bagus untuk saya, dalam empat bulan sahaja saya jana pendapatan AS$90.

Seorang lagi penternak, Encik Him Yousos pula berkongsi betapa kehidupannya sebelum ini sukar.


"Tapi selepas menternak lembu, kehidupan bertambah baik dan kami juga ada banyak baja lembu untuk bercucuk tanam," kata beliau.

BERPOTENSI RAIH PELUANG SEMASA HARI RAYA KORBAN

Jelas, selain membangkitkan sikap berdikari, inisiatif ini juga membuka pintu bagi pendapatan lebih stabil sepanjang tahun untuk 160 keluarga penerimanya.

Musim Hari Raya korban diharapkan menjadi satu jendela perniagaan untuk keluarga-keluarga berkenaan.


"Pada bulan Ogos (tahun ini), ada ibadah Korban, jadi akan ada permintaan tinggi bagi lembu. Mereka juga boleh mendapat permintaan dan memenuhi permintaan itu, dan menjualnya pada harga yang baik pada bulan Ogos," terang Encik Hafiz lagi kepada BERITAmediacorp.

Projek 'derma lembu' itu baru bermula tahun lalu (2018). Pada Jun tahun ini, ia mendampingi lagi 160 keluarga untuk menghulurkan bantuan serupa.

KINI MAMPU HANTAR ANAK KE SEKOLAH

Hasil inisiatif tersebut juga sebilangan keluarga di Kampong Tralach itu kini punya kemampuan menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

Antara mereka termasuklah Cik Man Yan yang mempunyai dua orang anak. Beliau melahirkan rasa gembira kerana meraih faedah daripada pendermaan tersebut.

"Menternak lembu lebih baik daripada menerima habuan daging korban. Anak saya dapat pergi ke sekolah. Dapat bayar yuran sekolah anak untuk belajar bahasa Inggeris dan bahasa Arab-Khmer."


Muslim Aid Kemboja menyatakan ia mengalu-alukan pendermaan lembu hidup dari masyarakat Singapura bagi memperkasa keluarga seperti ini.

Bagi anda yang berminat menderma bagi projek ini, anda diharap boleh menderma sekitar AS$525 (S$715) bagi kos dua ekor lembu tersebut. Selain itu lagi AS$150 (S$205) juga diperlukan untuk kos latihan kemahiran menternak lembu dan khidmat-khidmat sokongan. Jadi, kos keseluruhan menaja program pemberdayaan golongan miskin ini berjumlah sekitar AS$675 (S$920).

Jika lima orang penderma berkongsi bagi menaja sebuah keluarga sasaran, jumlah yang perlu dikeluarkan tidaklah banyak, iaitu sekitar S$200 seorang.

Muslim Aid Kemboja berhasrat mendampingi sekitar 450 keluarga miskin di negara itu dalam masa tiga tahun, dengan harapan 60 peratus daripada mereka meneruskan ternakan ini sebagai perniagaan keluarga dan keluar daripada lingkaran kemiskinan. 

- BERITAmediacorp/im

Top