Images
  • rakhine police
    Para pegawai polis Myanmar di Maungdaw, Rakhine. (Gambar fail: Ann Wang/REUTERS)

Sekurang-kurangnya 19 kanak-kanak cedera letupan di sekolah Rakhine

YANGON: Sekitar 20 kanak-kanak cedera pada Khamis (13 Feb) berikutan serangan mortar di sebuah sekolah rendah di pinggir utara negeri Rakhine, Myanmar, iaitu kawasan pertempuran antara pihak tentera dengan pemberontak Tentera Arakan (AA).

Serangan itu berlaku di bandar Buthidaung, salah satu kawasan pertempuran, dan belum jelas pihak yang bertanggungjawab di atas serangan itu.

Ramai orang awam terbunuh, beratus-ratus orang cedera dan kira-kira 100,000 yang lain kehilangan tempat tinggal sejak Januari tahun lalu apabila kedua-dua pihak meningkatkan operasi.

AA dikatakan berjuang untuk menuntut lebih banyak autonomi bagi kaum etnik Buddha Rakhine.

Seorang guru, Thar Aye Maung, dari kampung Khamwe memberitahu AFP melalui telefon tentang bagaimana sekolahnya diserang dengan mortar pada pagi itu, mencederakan 21 murid.

"Seorang kanak-kanak perempuan cedera teruk dan kebanyakan orang mengalami kecederaan pada tangan dan kaki mereka," terangnya.

Beliau berkata semua kanak-kanak yang cedera adalah etnik Khami, minoriti penganut Buddha dalam negeri yang mempunyai pelbagai kumpulan yang tinggal bersama di Rakhine.

Pertempuran tersebut berlaku kira-kira dua kilometer dari kampung itu, tambahnya.

Ketua Daerah Maungdaw, Soe Aung, mengesahkan kejadian itu tetapi berkata 19 kanak-kanak cedera.

“Tiada alasan” untuk mempercayai mortar itu dilancarkan oleh tentera, kata jurucakap komando Barat, Kolonel Win Zaw Oo, sambil menambah bahawa tentera kadang-kadang kehilangan senjata dan peluru kepada pemberontak.

Kumpulan pemberontak bersenjata itu tidak dapat dihubungi untuk mengulas.

AA melancarkan operasi dalam beberapa bulan kebelakangan ini dengan siri penculikan, pengeboman dan serbuan terhadap tentera dan para pegawai tempatan. 

- AFP/FZ/fz

Top