Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sekumpulan anak muda Indonesia ini guna cara kreatif ajak bangun sahur

Sekumpulan anak muda Indonesia guna cara kreatif; mencuit hati kejut orang kampung bangun sahur.

Anggaran Waktu Membaca:
Sekumpulan anak muda Indonesia ini guna cara kreatif ajak bangun sahur

Sekumpulan anak muda Indonesia ini guna cara kreatif ajak bangun sahur. (Gambar: Laburaku/Instagram)

Diterbitkan : 18 Apr 2021 08:13PM Dikemas Kini : 18 Apr 2021 08:26PM

INDONESIA: Lain masyarakat, lain tradisinya dalam bulan Ramadan ini.

Namun itulah yang membuatkan suasana bulan mulia ini begitu meriah dan sentiasa dinanti-nantikan.

Salah satu tradisi menarik di Indonesia adalah mengejutkan orang bangun sahur.

Tetapi, caranya bukan biasa-biasa saja.

Seperti sekumpulan anak muda di sebuah perkampungan Desa Ledong Barat, Kecamatan Aek Ledong, Kabupaten Asahan, Sumatera Utara, Indonesia, awal pagi lagi mereka sudah berkumpul menunggang motosikal dan membuat 'bising' - menyanyikan lagu dan membunyikan gendang serta hon kenderaan mereka.

Semua itu sambil mereka 'pusing-pusing' keliling kampung mengajak orang ramai sama-sama bangun agar tidak terlepas waktu sahur dan merebut keberkatannya.

Namanya pun anak muda, maka ada sahaja idea unik, kreatif dan lucu dalam cara mereka memeriahkan waktu mengejut orang kampung.

Antaranya, bait-bait mencuit hati yang diselitkan dalam 'lirik lagu' sahur itu.

Beberapa rakaman video yang dimuat naik di laman Instagram @laburaku dan @medanzone menjadi viral.

Video yang dirakam pada hari kelima Ramadan, menunjukkan sekumpulan anak muda menunggang motosikal sambil melaung-laungkan "sahur!" "sahur!" dan memukul gendang.

Namun apa yang menarik pehatian adalah dua 'hantu', salah satunya 'pocong' terlompat-lompat ikut mengejutkan orang bangun sahur!

Video pada Ramadan ketiga pula menunjukkan mereka berada di hadapan sebuah rumah yang kelihatan masih gelap.

'Lirik' lagu sahur yang dilaung-laungkan itu berbunyi: "Assalamualaikum bapa mentua. Mantu (menantu) datang, bangunin (bangun) sahur."

Bagi sebahagian orang, mungkin ragam mereka itu menggelikan hati. Namun bagi 'calon' bapa mentua, bagaimana pula agaknya?

Satu lagi video, yang terbaru, menunjukkan anak-anak muda itu sedang berjalan sambil melaung-laungkan 'lagu' yang kedengaran 'manja', iaitu: "Sayang sahur, sayang bangun sahur."

Warga siber rata-rata menyifatkan semangat anak-anak muda itu membangunkan orang kampung pada awal pagi sebagai "sangat kreatif".

Malah, ia dianggap membuatkan suasana Ramadan semakin meriah.

Tradisi mengejutkan orang bangun sahur seperti itu bukan sahaja di Indonesia.

Di Timur Tengah misalnya, khidmat seorang El Mesaharaty digunakan bagi tujuan serupa.

El Mesaharaty, yang merupakan salah satu tradisi tertua dalam bulan Ramadan, adalah gelaran yang diberikan kepada seorang individu yang berjalan di sekitar kawasan kejiranannya setiap awal pagi sambil mengetuk gendangnya atau melaung-laungkan ayat-ayat tertentu bagi mengejutkan para penduduk supaya bangun sahur.

Bagaimanapun, dengan perkembangan teknologi yang kian pesat, tradisi yang terkait rapat dengan bulan Ramadan itu semakin pudar, lapor laman Emirates 247.

Hari ini, televisyen, alat mudah alih dan jam loceng mula mengambil alih tugas yang dahulunya hanya dilakukan El Mesaharaty. 

Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan