Images
  • india haze
    Kanak-kanak memakai pelitup sambil berjalan di New Delhi pada 2 Nov 2019. (Gambar: Anushree Fadnavis/REUTERS)

Sekolah di New Delhi dibuka semula meski mutu udara masih tidak sihat

NEW DELHI: Sekolah di ibu negara India, New Delhi, dibuka semula pada Rabu (6 Nov) selepas ditutup dua hari akibat pencemaran udara sehingga mencetuskan darurat kesihatan awam dan bantahan oleh para penduduk serta kumpulan pencinta alam.

Kanak-kanak dilihat memakai pelitup sekembalinya mereka ke sekolah di New Delhi dan bandar sekitarnya walaupun pencemaran udara berada pada tahap ‘tidak sihat’ di beberapa bahagian sebelah utara India termasuk ibu negara.

Pejabat kaji cuaca India meramalkan hujan gerimis pada hari ini dan hujan lebat pada keesokannya.

Secara keseluruhannya, mutu udara di merata bandar menunjukkan sedikit kemajuan untuk hari kedua berturut-turut sementara angin kencang pula membantu menolak pencemaran yang berlegar di ruang atmosfera.

Pad sebelah malam Selasa (5 Nov), lebih 1,500 orang berkumpul di India Gate iaitu tugu peringatan perang di tengah ibu negara bagi membantah pencemaran yang meningkat ke paras tertinggi selain menuntut pemerintah persekutuan dan pusat supaya mengambil tindakan.

“Orang ramai marah kerana kegagalan yang kolektif dan ahli politik perlu bersama menyusun rancangan komprehensif untuk menangani krisis ini,” kata Vimlendu Jha, pencinta alam yang mengasaskan kumpulan aktivis Swechha.

Indeks mutu udara yang dicatatkan oleh Kedutaan Amerika Syarikat di New Delhi berada pada paras 'tidak sihat' iaitu 177 pada Rabu, merosot dari 331 pada pagi Selasa.

- REUTERS/FZ/fz

Top