Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sekolah di lapan daerah di Sarawak ditutup akibat jerebu

Sekolah di lapan daerah di Sarawak diarahkan tutup hari ini (10 Sep) selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan terbabit diambil kira sehingga pukul 6.00 petang pada Isnin (9 Sep). 

Anggaran Waktu Membaca:
Sekolah di lapan daerah di Sarawak ditutup akibat jerebu

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 10 Sep 2019 01:08PM Dikemas Kini : 10 Sep 2019 01:10PM

KUCHING: Sekolah di lapan daerah di Sarawak diarahkan tutup hari ini (10 Sep) selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan terbabit diambil kira sehingga pukul 6.00 petang pada Isnin (9 Sep).

Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak Abang Mat Ali Abang Masagus berkata daerah yang terlibat adalah Kuching, Samarahan, Padawan, Serian, Sri Aman, Betong, Bau dan Lundu.

Bagaimanapun, katanya peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di sekolah terlibat berjalan seperti biasa.

“(Penilaian penutupan sekolah) akan mengikut bacaan IPU setiap pukul 6.00 petang, kerana keputusan perlu dibuat untuk esok hari.

“Jadi melihat kepada keadaan kualiti udara sekarang ini (hari ini), maknanya mereka (pihak sekolah) kena buat persediaan untuk buka sekolah esok kalau trend bacaan IPU terus menurun,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pagi ini, sebanyak 50,000 pelitup sekali lagi diagihkan oleh pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak kepada Jabatan Pendidikan Negeri untuk diedarkan kepada sekolah-sekolah di seluruh Sarawak.

Mutu udara di negeri itu bagaimanapun dilihat bertambah baik pagi ini, dengan hanya Sri Aman mencatatkan kualiti udara sangat tidak sihat, manakala Kuching yang sejak tiga hari lepas dalam kategori sama akhirnya mencatat bacaan IPU di bawah 200.

Menurut Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, Mejar Ismail Mahedin dari APM negeri, Sri Aman mencatatkan bacaan IPU 202 setakat pukul 8.00 pagi berbanding 241 pada pukul 8.00 malam tadi.

Bacaan IPU di Kuching pula turun mendadak kepada 167 pagi ini berbanding 236 pukul 8.00 malam tadi manakala Samarahan walaupun kekal pada bacaan kualiti udara tidak sihat, namun menunjukkan trend penurunan dengan merekodkan bacaan 132 pagi ini berbanding 186 semalam.

Daerah lain iaitu Sarikei, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri dan Sibu yang mencatat bacaan IPU tidak sihat semalam juga mencatatkan bacaan lebih baik hari ini dengan masing-masing kini mencatat IPU sederhana di bawah 100.

Semalam, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak menyarankan pihak sekolah menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan semua murid sekiranya bacaan IPU melebihi 100, jika IPU melebihi 200, semua sekolah yang berada dalam kawasan atau daerah berkenaan hendaklah ditutup serta-merta. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan