Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sekolah di Indonesia mungkin tidak buka sehingga Disember meski sekatan COVID-19 bakal dilonggarkan

Pemerintah Indonesia menyatakan sekolah di negara itu mungkin tidak akan dibuka semula sehingga Disember, meskipun beberapa wilayah negara itu bersedia menjalani kehidupan seperti biasa menyusuli penarikan balik sekatan sosial besar-besaran pada minggu ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Sekolah di Indonesia mungkin tidak buka sehingga Disember meski sekatan COVID-19 bakal dilonggarkan

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 02 Jun 2020 08:05PM Dikemas Kini : 02 Jun 2020 08:08PM

JAKARTA: Pemerintah Indonesia menyatakan sekolah di negara itu mungkin tidak akan dibuka semula sehingga Disember, meskipun beberapa wilayah negara itu bersedia menjalani kehidupan seperti biasa menyusuli penarikan balik sekatan sosial besar-besaran pada minggu ini.

Berucap di satu acara perbincangan pada hujung minggu lalu, Menteri Penyelaras bagi Pembangunan Manusia dan Kebudayaan Muhadjir Effendy berkata Pemerintah tidak akan terburu-buru membuat keputusan untuk membolehkan para pelajar pulang ke kampus masing-masing.

"Berbanding sektor-sektor yang lain, sekolah mungkin adalah sektor terakhir (dibuka semula) memandangkan risiko (kesihatan) tidak terkira disebabkan oleh pembukaan semula sekolah," kata Encik Effendy.

Beliau berkata Pemerintah belum lagi memutuskan bilakah masa terbaik untuk membuka semula sekolah, meskipun tahun baru persekolahan bermula pada bulan depan.

Terdapat juga kemungkinan, katanya, bahawa sekolah dan universiti akan dibuka pada Disember atau awal tahun depan.

"Meskipun tahun persekolahan bermula pada pertengahan bulan Julai, kementerian penyelaras tidak menyarankan (pelajar) pulang ke sekolah ketika waktu itu," katanya.

Timbalannya bagi isu-isu pendidikan Agus Sartono berkata meskipun Indonesia berjaya meratakan lengkungan jangkitan COVID-19 dalam tempoh beberapa bulan mendatang, para pelajar mungkin perlu melakukan pembelajaran di rumah sepanjang semester pertama bagi tahun akademik yang baru.

"Ia tetap lebih baik (jika sekolah) dibuka semula pada Disember," kata Encik Sartono.

"Kami tidak mahu menjadi seperti Perancis dan Korea Selatan yang membuka semula sekolah hanya untuk mendedahkan ramai pelajar (kepada COVID-19)."

Kenyataannya itu dibuat sedang Indonesia bersiap sedia untuk menarik balik sekatan sosial besar-besaran di beberapa daerah, termasuk Jakarta, seawal Jumaat (5 Jun) dan membenarkan perniagaan beroperasi semula.

Para pakar bagaimanapun meluahkan keprihatinan bahawa keputusan untuk membuka semula ekonomi mungkin terlalu awal memandangkan jumlah jangkitan baru tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda.

Sehingga petang Selasa, lebih 27,000 kes COVID-19 dilaporkan di Indonesia, dengan 1,600 kematian akibat virus itu.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan