Images
  • myanmar insurgency

Sekitar 15 maut dalam serangan pemisah; maktab tentera Myanmar antara sasaran

MYANMAR: Kumpulan-kumpulan pemisah Myanmar melancarkan satu siri serangan maut di utara negara itu, meragut nyawa sekurang-kurangnya 15 jiwa.

Majoriti mangsa merupakan para anggota polis dan askar pemerintah dengan serangan-serangan disasarkan ke atas maktab tentera dan empat lagi lokasi.

Salah satu sasaran serangan itu adalah Akademi Teknologi Khidmat Pertahanan Myanmar di wilayah Shan yang menjadi tapak latihan para jurutera tentera.

Perikatan Utara iaitu gabungan kumpulan-kumpulan bersenjata di utara Myanmar, telah mengaku bertanggungjawab.

Ia mendakwa siri serangan itu adalah tindak balas terhadap operasi tentera pemerintah di utara Myanmar, baru-baru ini.

Perikatan tentera pemisah itu telah memperjuangkan autonomi untuk kumpulan-kumpulan kaum minoriti di utara Myanmar.

Selain serangan ke atas maktab tentera Myanmar itu, tentera pemisah terbabit juga menyerang askar-askar pemerintah di sebuah jambatan kereta api dan sebuah tempat tarikan pelancong.

Siri serangan itu menandakan peningkatan dalam konflik berpuluh tahun dengan pemerintah Myanmar.

Ia berlaku kurang beberapa minggu sebelum tamatnya gencatan senjata yang dilanjutkan dari Jun lalu.

Keganasan terbaru itu menjadi hambatan besar kepada usaha pemerintah Cik Aung San Suu Kyi untuk mewujudkan perdamaian di Myanmar.

Myanmar juga masih bergelut dengan masalah kaum Rohingya di wilayah Rakhine. 

- AFP/AA/fz

Top