Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sekilas tentang vaksin Pfizer-BioNTech, Moderna dan Sinovac

Tinggal beberapa hari sahaja lagi, para penduduk di Amerika Syarikat, iaitu negara yang paling teruk terjejas oleh COVID-19 akan mendapat akses kepada vaksin kedua COVID-19. 

Anggaran Waktu Membaca:
Sekilas tentang vaksin Pfizer-BioNTech, Moderna dan Sinovac

Satu dos vaksin BioNTech dan Pfizer diberikan. (Gambar: BioNTech/Reuters)

Diterbitkan : 17 Dec 2020 10:28AM Dikemas Kini : 17 Dec 2020 10:37AM

SINGAPURA: Tinggal beberapa hari sahaja lagi, para penduduk di Amerika Syarikat, iaitu negara yang paling teruk terjejas oleh COVID-19 akan mendapat akses kepada vaksin kedua COVID-19. Pada Selasa (15 Dis), Jabatan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika (FDA) mengiktiraf mRNA-1237 sebagai selamat dan berkesan. Vaksin itu dihasilkan oleh syarikat bioteknologi tempatan, Moderna.

Dengan pengiktirafan itu, Moderna boleh segera diluluskan. FDA akan membuat keputusan itu seawal hari ini (17 Dis) selepas sebuah panel penasihat berbincang.

Jika diluluskan, vaksin Moderna akan disediakan sebagaimana vaksin Pfizer-BioNTech kini diberikan kepada orang ramai.

Singapura juga sudah meluluskan vaksin Pfizer-BioNTech. Hantaran pertama dijangka tiba pada hujung bulan ini.

Negara-negara lain seperti Kanada, Arab Saudi, Mexico dan Kuwait juga sudah meluluskan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech. Perkumpulan besar yang dijangka akan mengikut jejak yang sama ialah Kesatuan Eropah sekiranya ia meluluskan vaksin berkenaan seawal 23 Dis.

Vaksin ketiga COVID-19 yang dihasilkan adalah keluaran Sinovac Biotech dari China, dengan vaksin tersebut sudah sampai ke tahap ujian lanjut. Indonesia sudah mempunyai 1.2 juta dos CoronaVac - vaksin yang diuji oleh syarikat dari China itu sejak Ogos.

Berikut sekilas tentang tiga vaksin COVID-19 yang tersedia:

PFIZER-BIONTECH

Vaksin COVID-19 yang dihasilkan syarikat gergasi Pfizer dan BioNTech dari Jerman adalah vaksin COVID-19 pertama yang diluluskan FDA Amerika bagi kegunaan darurat.

Bagaimana ia berfungsi: Vaksin Pfizer-BioNTech menggunakan teknologi RNA (mRNA). Vaksin mRNA 'mengajar' sel dalam tubuh untuk menghasilkan zat yang merangsang tindak balas imun. Ini berbeza berbanding vaksin-vaksin biasa di mana kuman tidak aktif dimasukkan ke dalam tubuh kita.

Penyimpanan: Vaksin Pfizer-BioNTech harus disimpan dalam suhu -70°C. Ini menjadi satu cabaran dari segi logistik, terutama sekali bagi negara-negara membangun.

Keberkesanan: 95 peratus

Penghasilan: Britain negara pertama di dunia yang menyediakan suntikan vaksin kepada rakyat pada 8 Dis. Amerika mengorak langkah sama sekitar seminggu kemudian. Singapura, Kanada, Mexico dan Arab Saudi juga sudah meluluskan penggunaan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech.

MODERNA

Hasil ujian awal vaksin Moderna disifatkan sebagai "sangat menakjubkan" oleh pakar penyakit berjangkit Amerika, Anthony Fauci, pada bulan lalu.

Bagaimana ia berfungsi: Sama seperti vaksin Pfizer-BioNTech, vaksin Moderna menggunakan teknologi mRNA.

Penyimpanan: Ia boleh disimpan selama 30 hari dalam peti sejuk dan sehingga enam bulan pada suhu -20°C.

Keberkesanan: 94.5 peratus

Penghasilan: Belum lagi dihasilkan setakat sehingga 16 Dis.

SINOVAC

Dihasilkan oleh Sinovac Biotech dari China, vaksin yang dipanggil CoronaVac, sedang menjalani fasa ketiga ujian klinikal di tempat-tempat seperti Brazil dan Indonesia.

Bagaimana ia berfungsi: Vaksin Sinovac menggunakan teknologi vaksin tidak aktif, ydengan virus hidup yang lemah digunakan untuk merangsang tindak balas imun dari tubuh. Vaksin ini serupa dengan vaksin selesema dan vaksin campak.

Penyimpanan: Vaksin ini boleh disimpan dalam peti sejuk biasa dengan suhu antara 2 hingga 8 darjah Selsius. Ia boleh kekal stabil sehingga tiga tahun. Ia mungkin akan menjadi pilihan ramai lebih-lebih lagi bagi negara di mana akses untuk mendapatkan kemudahan penyejukan mungkin adalah sesuatu yang menyulitkan.

Keberkesanan: Belum diketahui.

Penghasilan: Belum lagi dihasilkan setakat sehingga 16 Dis.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan