Images
  • sydney covid-19
    (Gambar: Reuters)

Sekatan COVID-19 di Sydney dilonggarkan lebih awal susuli kadar vaksinasi lebih tinggi

SYDNEY: New South Wales mungkin melonggarkan lebih banyak langkah sekatan di Sydney seminggu lebih awal berbanding tarikh dijadualkan pada 18 Oktober, sedang negeri Australia itu berusaha mencapai sasaran 80 peratus penduduk lengkap divaksin, menurut pihak berkuasa pada Rabu (13 Okt).

Sydney dijangka mencapai sasaran itu pada hujung minggu ini. Pihak berkuasa sebelum ini berjanji akan melonggarkan lebih banyak sekatan pada hari Isnin pertama setelah sasaran itu dicapai.

"Kami akan mengadakan rundingan bersama pasukan kami pada Khamis, dan keputusannya diumumkan pada Jumaat," kata Ketua Wilayah Dominic Perrottet kepada ABC Radio.

Kedai runcit, tempat minuman keras dan gimnasium boleh menerima lebih ramai pengunjung yang lengkap divaksin apabila kadar vaksinasi cecah 80 peratus. Pemakaian pelitup tidak diwajibkan di dalam pejabat manakala pelanggan kelab-kelab malam dibenarkan minum di dalam. Sementara itu, majlis perkahwinan boleh diadakan dengan tiada had pada jumlah tetamu.

Sydney yang mempunyai lebih lima juta penduduk selesai menjalani perintah berkurung selama hampir empat bulan pada Isnin setelah ia mencapai kadar vaksinasi 70 peratus.

Kerajaan New South Wales memberi amaran kes jangkitan akan meningkat dengan pembukaan semula itu.

Amaran oleh sesetengah pakar kesihatan bahawa hospital-hospital mungkin dibebani kes COVID-19 tidak diendahkan di bawah strategi Perrottet untuk hidup dengan virus COVID-19.

Jumlah harian kes COVID-19 di New South Wales naik kepada 444 pada Rabu, berbanding 360 sehari sebelumnya. Namun, jumlah itu lebih rendah berbanding 1,599 kes yang dicatatkan pada awal September.

Australia sedang bergelut dengan gelombang ketiga jangkitan COVID-19 disebabkan oelh varian Delta yang menular di Sydney dan Melbourne, iaitu dua bandar terbesar di negara itu, serta ibu kota Canberra.

Seramai 400,000 penduduk di Canberra akan selesai menjalani perintah berkurung pada Jumaat (15 Okt) setelah kadar vaksinasi dos pertama mencecah 95 peratus, iaitu salah satu yang tertinggi dalam kalangan ibu kota wilayah Australia.

Walaupun dengan penularan varian Delta, Australia berjaya mengawal jumlah kes COVID-19 di negara itu, dengan sekitar 133,400 kes COVID-19 dan 1,478 kematian. 

- Reuters/HA/ha

Top