Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sejadah, permaidani dewan solat Masjidil Haram dan Masjid Nabawi digulung, dibawa keluar bagi bendung COVID-19

Sejadah dan permaidani di dewan solat Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah dibawa keluar daripada kedua-dua masjid sebagai langkah berwaspada terhadap penularan virus korona COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 24 Mar 2020 12:54PM Dikemas Kini : 24 Mar 2020 01:40PM

MAKKAH: Sejadah dan permaidani di dewan solat Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah dibawa keluar daripada kedua-dua masjid sebagai langkah berwaspada terhadap penularan virus korona COVID-19.

Langkah itu sejajar dengan arahan yang dikeluarkan oleh Ketua Majlis Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Sheikh Abdulrahman Al-Sudais, lapor Saudi Gazette.

Ketua majlis itu berkata permaidani-permaidani tersebut sudah dibawa keluar sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan Saudi untuk mencegah sebarang penularan COVID-19 dan menjaga keselamatan para jemaah dan pengunjung Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Saudi Gazette melaporkan bahawa Sheikh Al-Sudais juga sudah menyemak semula langkah-langkah yang diambil oleh majlis tersebut bagi menangani penularan virus berkenaan.

Pada Jumaat (20 Mac), pihak berkuasa melarang para jemaah daripada memasuki dan bersolat di pekarangan kedua-dua masjid tersebut.

"Pihak majlis dan agensi-agensi keselamatan dan kesihatan membuat keputusan untuk melarang kehadiran para jemaah dan menggantung solat di pekarangan Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah mulai Jumaat (20 Mac) sebagai sebahagian daripada langkah berjaga-jaga dan pencegahan untuk membendung penularan COVID-19," kata jurucakap tersebut menurut satu kenyataan di Twitter.

Awal dari itu, Menteri Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Sheikh Abdullatif Al-Sheikh menggesa para jemaah supaya melakukan solat jenazah di tanah perkuburan.
"Ini adalah adat yang sudah diamalkan sejak zaman Nabi dan sahabat-sahabatnya. Terdapat ruang-ruang yang diperuntukkan untuk solat jenazah di tanah perkuburan," kata beliau sambil menarik perhatian bahawa kemudahan untuk memandikan jenazah terus dibuka seperti biasa, lapor Saudi Press Agency yang menukil Sheik Abdullatif.

Sheikh Abdullatif turut mengarahkan pelaksanaan yang ketat bagi keputusan Majlis Ulama Kanan untuk menggantung solat berjemaah dan solat Jumaat yang diadakan di semua masjid di merata negara itu.

Sementara itu, pasukan petugas bagi membasmi kuman di Masjidil Haram ditambah dari 330 kepada 450 orang.

Awal dari itu, laporan-laporan menyatakan sebuah pasukan seramai 330 anggota dikerahkan untuk membersihkan, membasmi kuman dan mewangikan kawasan tawaf dan bahagian-bahagian lain Masjidil Haram.

Jabatan Pentadbiran Pensterilan dan Permaidani majlis ehwal tersebut turut membasmi kuman secara teliti dan rapi di Masjidil Haram setiap hari menggunakan cecair pembasmi kuman mesra alam untuk memastikan alam sekitar dan manusia tidak terjejas.

Proses pembersihan dan pembasmian kuman adalah bagi menjaga keselamatan para jemaah dan pengunjung Masjidil Haram dengan menghapuskan segala kuman dan mikrob di lantai dan permukaan kemudahan dan perkakas yang digunakan di Masjidil Haram serta pekarangannya.

Sumber : Agensi berita/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan