Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sebutan semula 3 kes pengubahan wang haram Najib Razak ditetapkan 17 Mei

Mahkamah Tinggi hari ini (17 Apr) menetapkan 17 Mei untuk sebutan semula kes bekas Perdana Menteri, Najib Razak yang didakwa atas tiga pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berhubung dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta (S$9 juta), lima tahun lepas.

Anggaran Waktu Membaca:
Sebutan semula 3 kes pengubahan wang haram Najib Razak ditetapkan 17 Mei

Encik Najib Razak. (Gambar: Mohd Rasfan/AFP)

Diterbitkan : 17 Apr 2019 07:20PM Dikemas Kini : 17 Apr 2019 07:22PM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini (17 Apr) menetapkan 17 Mei untuk sebutan semula kes bekas Perdana Menteri, Najib Razak yang didakwa atas tiga pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berhubung dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta (S$9 juta), lima tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi, Encik Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas pengurusan kes berkenaan di hadapannya yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff  dan peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Encik Najib, 66 tahun.

Encik Ishak memaklumkan bahawa kedua-dua pihak terikat dengan perbicaraan kes lain sehingga 10 Mei.

“Pihak kami memohon tarikh lain kerana terikat dengan perbicaraan kes SRC (Najib) sehingga 10 Mei ini,” katanya.

Encik Najib kini sedang dibicarakan atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta (S$14 juta) di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan berkenaan, Encik Najib didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang keseluruhannya RM27 juta (S$9 juta), iaitu hasil daripada aktiviti haram dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.

Encik Najib dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014 mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta (S$1.6 juta) atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 8 Feb lepas, Encik Najib didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan itu, bagaimanapun kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi selepas pihak pendakwaan memohon kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan