Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sebilangan penduduk mula tinggalkan Pasir Gudang

Sebilangan penduduk di Pasir Gudang mula meninggalkan kediaman mereka buat sementara, kerana khuatir dengan keadaan pencemaran akibat pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim.

Anggaran Waktu Membaca:
Sebilangan penduduk mula tinggalkan Pasir Gudang

Semua 111 sekolah di Pasir Gudang diarah ditutup serta merta. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 14 Mar 2019 06:55PM Dikemas Kini : 14 Mar 2019 06:59PM

JOHOR BARU: Sebilangan penduduk di Pasir Gudang mula meninggalkan kediaman mereka buat sementara, kerana khuatir dengan keadaan pencemaran akibat pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim.

Sehingga kini, pencemaran kimia itu menyebabkan lebih 900 orang dirawat.

Para penduduk mengambil keputusan untuk keluar dari kawasan itu demi memastikan keselamatan diri dan keluarga mereka.

Seorang daripada mereka, Mahirah Ahmad Helmi, 32, berkata beliau hari ini (14 Mac) membawa dua anaknya - berusia tiga tahun dan lima bulan ke Kempas, Johor Bahru untuk tinggal di rumah bapa mertuanya.

"Sejak beberapa hari lalu, anak pertama saya batuk-batuk, anak kedua pula mengalami mata merah. Saya telah bawa mereka ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk membuat pemeriksaan.

"Mulai hari ini, saya akan tinggal sementara di rumah bapa mertua malah sejak semalam, semua jiran saya sudah mula meninggalkan rumah masing-masing kerana merasakan kehidupan kami di situ (Pasir Gudang) terancam," kata Cik Mahirah, yang tinggal di Taman Kota Masai, Pasir Gudang.

Cik Mahirah, yang merupakan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai 2, turut berharap proses pembersihan sungai dapat dijalankan dengan segera bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini.

Seorang lagi penduduk, Abdul Rahim Abdul Rahman, 47, berkata beliau sudahpun membawa tiga anaknya menginap di sebuah hotel di pusat bandar sejak malam tadi (13 Mac).

Ini kerana beliau enggan mengambil risiko terhadap keselamatan anak-anaknya. Sekolah mereka juga diarahkan ditutup semalam (13 Mac).

"Kami tinggal di hotel kerana merasakan tidak perlu untuk terus berada di rumah kami di Taman Bukit Dahlia... ada banyak sangat maklumat mengelirukan tentang insiden ini," katanya.

Kejadian pencemaran bahan kimia sejak 7 Mac itu sehingga kini menyebabkan 947 orang awam terpaksa mendapatkan rawatan, dengan sembilan daripada mereka dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Semua 111 sekolah di Pasir Gudang juga diarah ditutup serta merta. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan