Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sebahagian Lapangan Terbang Kansai dibuka semula selepas dilanda Taufan Jebi

Sebahagian Lapangan Terbang Kansai di Jepun akan dibuka semula esok (7 Sep), menurut pemerintah negara itu hari ini (6 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Sebahagian Lapangan Terbang Kansai dibuka semula selepas dilanda Taufan Jebi

Kerosakan yang dialami Lapangan Terbang Kansai akibat taufan Jebi. (Gambar: Jiji Press/AFP)

Diterbitkan : 06 Sep 2018 04:32PM Dikemas Kini : 06 Sep 2018 04:34PM

TOKYO: Sebahagian Lapangan Terbang Kansai di Jepun akan dibuka semula esok (7 Sep), menurut pemerintah negara itu hari ini (6 Sep). Ini selepas taufan ganas menyebabkan beberapa bahagian hab pengangkutan berkenaan dilanda banjir dan mengakibatkan sebuah kapal tangki minyak merempuh ke satu-satunya jambatan yang menghubungkan lapangan terbang itu dengan tanah besar Jepun.

Ini menyebabkan lapangan terbang tersebut, yang terletak di sebuah pulau buatan, terputus hubungan dengan tanah besar, menyebabkan beribu-ribu penumpang dan kakitangan terkandas. Pihak berkuasa pula terpaksa memindahkan para penumpang dan kakitangan melalui bot dan bas.

"Penerbangan domestik di lapangan terbang antarabangsa Kansai akan kembali beroperasi esok (6 Sep) manakala penerbangan antarabangsa pula dijadual kembali beroperasi apabila semua kerja persiapan selesai dijalankan," kata jurucakap pemerintah, Yoshihide Suga.

Lapangan terbang Kansai, yang terletak di wilayah Osaka di bahagian barat Jepun, dilanda taufan Jebi pada Selasa (4 Sep) dan ia merupakan taufan paling ganas pernah membadai Jepun sejak 1993.

Ombak kuat akibat ribut itu juga menyebabkan banjir di beberapa bahagian lapangan terbang berkenaan, termasuk landasan pesawat.

Ketua Pegawai Eksekutif Lapangan Terbang Kansai, Yoshiyuki Yamaya, berkata hari ini (6 Sep) bahawa semua orang yang terkandas sudahpun dipindahkan dari lapangan terbang itu dan kerja-kerja sedang dijalankan supaya lapangan terbang itu dapat kembali beroperasi secara biasa.

Kansai merupakan sebuah hab utama bagi pesawat penumpang dan kargo, dan ia mengendalikan sekitar 400 penerbangan setiap hari.

Gangguan terhadap operasi boleh menjejas sektor pelancongan dan perniagaan di wilayah itu.

Taufan Jebi menyebabkan kerosakan besar sedang ia membadai Jepun pada Selasa (4 Sep), meragut nyawa sekurang-kurangnya 11 orang dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain. 

Sumber : AFP/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan