Images
  • Suez Canal Ever Given
    Kapal Ever Given tersendat di Terusan Suez. (Gambar: Suez Canal Authority/Handout via Reuters)

'Sebahagian' kapal kontena Ever Given 'sudah diapungkan semula'

SUEZ, Mesir: Sebuah firma khidmat terusan menyatakan pasukan-pasukan penyelamat sudah "mengapungkan semula sebahagian" daripada kapal kontena raksasa yang masih tersendat di Terusan Suez, tanpa memberikan perincian lanjut tentang bila kapal itu akan dapat dilepaskan.

Leth Agencies awal hari ini (29 Mac) menyatakan pengapungan semula sebahagian kapal itu dilakukan selepas usaha-usaha intensif untuk menolak dan menarik kapal tersebut menggunakan 10 bot tunda dan mengorek pasir menggunakan beberapa mesin pengorek.

Menurut firma itu, ia sedang menunggu pengesahan tentang pengapungan semula itu daripada Penguasa Terusan Suez (SCA).

Syarikat khidmat perkapalan Inchcape pula menyatakan dalam catatannya di laman Twitter bahawa kapal itu diapungkan semula hari ini dan sedang dikukuhkan.

Leftenan Jeneral Osama Rabei, ketua SCA, berkata para pekerja terus menggunakan kaedah "menarik" untuk mengapungkan semula kapal itu pagi tadi.

Data satelit daripada MarineTraffic.com menunjukkan kapal itu masih berada di kedudukan yang sama, dikelilingi puluhan bot tunda dengan bahagian depannya tersendat di tebing bahagian timur terusan itu.

Kapal Ever Given yang sangat besar itu tersendat di Terusan Suez pada Selasa (23 Mac) dan menjejas perdagangan global bernilai US$9 bilion setiap hari, mengganggu perjalanan di terusan tersebut.

Insiden itu menyebabkan kesesakan trafik di salah satu laluan paling penting perdagangan, yang menyediakan laluan bagi sekitar 10 peratus perdagangan maritim antarabangsa.

Setakat ini, beratus-ratus kapal lain masih terkandas di terusan itu sedang ia menunggu giliran masing-masing, membawa pelbagai muatan dari minyak mentah hingga lembu.

Lebih 20 kapal sudahpun mengambil laluan alternatif antara Asia dengan Eropah di sekitar Cape of Good Hope, menambah sekitar dua minggu masa perjalanan dan mengancam akan melengahkan penghantaran.

- AP/NK/nk

Top