Images
  • budak sunat
    (Gambar: Facebook/Anik Sutari)

Sebab takut kena 'potong', budak duduk 3 jam atas bumbung

SINGAPURA: Sama ada benar atau sekadar rekaan untuk menakut-nakutkan si kecil yang bakal melaluinya, cerita-cerita menyeramkan yang dikaitkan dengan berkhatan atau sunat tidak asing bagi ramai di rantau ini.

Namun ini satu kisah benar yang berlaku baru-baru ini yang boleh disifatkan sebagai 'kelakar seram'.

Seorang pengguna Facebook bernama Dr Anik Sutari baru-baru ini mengongsi pengalamannya mengendali seorang budak yang gerun untuk disunatkan.

Dalam catatan bertarikh 8 Julai, Dr Anik menceritakan bahawa beliau sudah 20 tahun menjalankan prosedur itu ke atas ribuan anak kecil. Namun pengalamannya kali ini cukup luar biasa.

Jika menangis atau melalak mungkin reaksi yang biasa didengari, budak berusia 5 tahun yang dikendali doktor ini pula memberi reaksi yang jauh berbeza.

"Sepanjang sejarah kerjayaku, 20 tahun menghatankan dan dari ribuan anak-anak yang sudah saya sunatkan, baru kali ini (saya lihat) anak lari sampai naik ke atas bumbung," mula cerita Dr Anik, yang menulis di laman Facebooknya sebagai pemilik sebuah klinik.


"Semua orang berusaha merayu, tapi tiada yang berani mendekatinya kerana takut anak itu lari dan membahayakan keselamatannya."

Keadaan cukup gamat itu menurut beliau, berlarutan lebih dua jam sehingga ibu bapa budak tersebut akhirnya teringatkan kepada seseorang yang mungkin boleh memujuk budak itu, iaitu gurunya.

"Apabila gurunya tiba, dengan sedikit pujukan akhirnya si anak mahu turun," tambah Dr Anik dalam catatan yang sudah dikongsi lebih 1,200 kali di Facebook.

"Dan lebih ajaib, anak tersebut berjalan sendiri menjutu tempat untuk berkhatan dan duduk bersedia tanpa diteman mahupun dipaksa".

Dr Anik menambah prosedur sekitar 10 minit itu selamat diselesaikan, dengan budak itu tidak menangis mahupun mengeluh sama sekali.

Namun yang jelas, beliau turut geli hati terkenangkan prosedur sunat 'paling lama' yang dikendalikannya itu.

"Sunatnya sih cuma 10 minit. Tapi menunggunya... 3 jam!" 

- BERITAmediacorp/TQ/tq

Top