Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Saya tidak tolak raja-raja Melayu, kata Mahathir

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menjelaskan apa yang beliau lakukan terhadap raja-raja Melayu sebelum ini bukan bermakna beliau menolak institusi diraja.

Anggaran Waktu Membaca:
Saya tidak tolak raja-raja Melayu, kata Mahathir

Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad. (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 08 Jun 2018 11:01AM Dikemas Kini : 08 Jun 2018 11:06AM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menjelaskan apa yang beliau lakukan terhadap raja-raja Melayu sebelum ini bukan bermakna beliau menolak institusi diraja.

Sebaliknya beliau berkata, apa yang dilakukan itu hanyalah mahu mengelakkan daripada raja-raja menimbulkan rasa marah rakyat sehingga rakyat memberontak.

Katanya, ini termasuklah menggubal undang-undang bagi menubuhkan Mahkamah Khas Raja-Raja.

“Kita kena jaga, raja janganlah terlibat dengan benda-benda yang rakyat tidak suka. Rakyat tiada kuasa, tetapi bila dia dah marah, dia akan memberontak. Jangan jadi macam ini.

“Jadi kita kena elak raja dengan kebesarannya itu supaya tidak tercemar. Saya bukan menolak raja-raja tetapi saya berpendapat bahawa kalau raja buat sesuatu yang salah, patutlah kita ambil tindakan iaitu menyelamatkan raja.

“Macam kita ada undang-undang yang kita gubal sehingga tertubuhnya mahkamah khusus untuk raja-raja,” katanya dalam sesi wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di Yayasan Kepimpinan Perdana, semalam (7 Jun).

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan apakah yang beliau lakukan untuk menjamin hubungan baik antara raja, pentadbir negara dan rakyat.

Pada 1993, Parlimen meminda Perkara 182 Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan kekebalan raja-raja Melayu. Melalui pindaan itu, Mahkamah Khas Raja-Raja ditubuhkan dan berkuat kuasa pada 30 Mac 1993.

Katanya, berhubung kelewatan angkat sumpah sebagai Perdana Menteri, beliau berkata, raja-raja perlu mematuhi undang-undang dan Perlembagaan Negara.

“Perkara macam itu tidak harus berlaku. Kita ada undang-undang. Kita ada perlembagaan. Kita kena akur kepada undang-undang. Kita nak kembali kepada 'the rule of law'. Apabila sesuatu yang berlaku tidak mengikut undang-undang, maka akan menimbulkan kemarahan.

“Tetapi saya fikir raja-raja sedar kerana ramai raja-raja yang berusaha supaya mereka semua dan Agong patuh kepada undang-undang.

“Sebenarnya majoriti raja-raja tidak bersetuju kalau dilewat-lewatkan pelantikan itu. Ada yang datang jumpa saya, ada yang cuba meredakan keadaan, termasuk kelewatan saya angkat sumpah dan juga soal pelantikan Peguam Negara. Dan ini sudah diselesaikan atas nasihat raja-raja sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.

Kelmarin, Encik Tommy Thomas dilantik sebagai Peguam Negara menggantikan Encik Mohamed Apandi Ali yang dipecat sebaik sahaja perdana menteri menasihatkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berbuat demikian.

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan