Saya bukan saja pandai tetapi sangat ‘genius’, kata Trump
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menolak keraguan umum berhubung kesihatan mentalnya, seperti yang dibangkitkan dalam buku "Fire and Fury: Inside the Trump White House".
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menolak keraguan umum berhubung kesihatan mentalnya, seperti yang dibangkitkan dalam buku "Fire and Fury: Inside the Trump White House".
Sebaliknya, Presiden Trump menyifatkan buku tersebut satu rekaan dan penulisnya, Michael Wolff sebagai penipu, lapor Astro Awani.
Kenyataan demi kenyataan dikeluarkan Presiden Trump, termasuk siri muat naik status di akaun Twitternya.
Antara lain, Presiden Trump mendakwa beliau adalah paling genius dan sangat bijak.
"Saya belajar di kolej terbaik, saya berdepan situasi yang secara jelas menunjukkan saya pelajar cemerlang, menamatkan pengajian selain berjaya menghasilkan berbilion dolar.
"Saya menjadi antara ahli perniagaan utama, memasuki perniagaan berasaskan televisyen dan selama 10 tahun ia terbukti berjaya, seperti yang anda dengar sebelum ini," tegas Presiden Trump ketika menjawab soalan berhubung kesihatan mentalnya.
Menurut laporan Astro Awani, kandungan buku Wolff yang dihasilkan berdasarkan petikan daripada bekas pembantu kanan Rumah Putih, Steve Bannon, menggambarkan Presiden Trump sebagai individu dengan masalah mental.
Buku itu juga mendakwa sehahagian besar penasihat kanan Rumah Putih, mempersoalkan kemampuan Presiden Trump mentadbir Amerika Syarikat.
Perang mulut Presiden Trump - Wolff turut membayangi mesyuarat parti Republikan, yang diadakan bagi membincangkan agenda 2018.
Menurut laporan Astro Awani lagi, Presiden Trump juga menafikan dakwaan Wolff wujud sesi rakaman temu ramah selama tiga jam.
"Tiada temu ramah diadakan, ia hanya dalam imaginasi penulis," kata Presiden Trump.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.