Images
  • saudi for min
    Adel al-jJuber (Gambar: AFP)

Saudi tidak tahu di mana mayat Khashoggi: Kementerian Luar

WASHINGTON: Riyadh tidak mengetahui di mana mayat wartawan Jamal Khashoggi berada walaupun pihaknya sudah menahan pasukan Arab Saudi yang membunuhnya, menurut seorang pegawai kanan ehwal luar kerajaan itu dalam satu siaran wawancara pada Ahad (11 Feb).

Pengkritik lantang terhadap dasar Saudi itu dikerat-kerat selepas dibunuh pada 2 Oktober di bangunan konsulat Arab Saudi di Istanbul namun mayatnya belum lagi ditemui.

Menteri negara ehwal luar Arab Saudi Adel al-Jubeir berkata pembunuhan itu dilakukan oleh pegawai Arab Saudi yang "bertindak di luar bidang kuasa mereka" dan 11 orang dituduh melakukan jenayah itu.

Namun bila ditanya di mana mayat Khashoggi, berada, beliau memberitahu program Face the Nation terbitan CBS, "Kami tidak tahu."

Encik Jubeir berkata pendakwa raya yang bertanggungjawab terhadap kes itu sudah meminta bukti dari Turki tetapi tidak menerima sebarang respons.

Ketika ditanya mengapa mereka yang ditahan tidak dapat memberitahu di mana mayat itu, Encik Jubeir menjawab: "Kami masih menyiasat."

"Kami kini mempunyai beberapa kemungkinan dan kami meminta mereka beritahu apa yang mereka lakukan dengan mayat itu, dan saya fikir siasatan berterusan dan saya menjangkakan bahawa akhirnya kami akan mengetahui kebenaran," katanya.

Encik Jubeir diwawancara pada Jumaat, pada hari sama Presiden Donald Trump mengabaikan tarikh akhir yang ditetapkan Kongres untuk melaporkan mengenai siapa yang membunuh Khashoggi, seorang kolumnis bagi The Washington Post yang secara terbuka mengkritik Putera Mahkota Saudi, Mohammed bin Salman.

CIA menyimpulkan, operasi Saudi itu mungkin diarahkan oleh putera mahkota tersebut, namun Rumah Putih menolak dapatan itu sedang ia dinafikan dengan keras oleh Riyadh, sekutu utama AS.

Pada Jumaat, The New York Times melaporkan bahawa CIA memintas komunikasi putera mahkota memberitahu pembantunya pada 2017 bahawa beliau akan mengejar Encik Khashoggi "dengan peluru" jika wartawan itu tidak pulang ke Arab Saudi.

"Saya tidak akan mengulas mengenai laporan berdasarkan sumber yang tidak dikenal pasti," kata Encik Jubeir.

"Putera mahkota, kita tahu, tidak mengarahkannya. Ini bukan operasi yang disokong kerajaan."

- AFP/TQ/tq

Top