Images
  • selfie umrah
    (Gambar: The Jakarta Post/ Asia News Network)

Saudi kenakan larangan ambil gambar, video di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi

JAKARTA: Kerajaan Arab Saudi melarang para jemaah daripada mengambil gambar dan merakam video di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Menurut laporan agensi berita Turki, The Daily Sabah, larangan itu dikenakan Kementerian Ehwal Luar Saudi pada 12 November.

Akhbar The Jakarta Post melaporkan perubahan itu disampaikan kementerian tersebut melalui nota diplomatik kepada para wakil negara asing di Arab Saudi, termasuk kedutaan Indonesia di Riyadh. Kedutaan itu menerima surat tersebut pada 15 November.

Pihak berkuasa Arab Saudi menyatakan langkah tersebut diambil bagi melindungi dan memelihara tempat-tempat suci tersebut, mencegah gangguan kepada jemaah lain selain menjamin ketenangan ketika melakukan ibadah.

Sejak akhir-akhir ini, ramai jemaah memuat naik gambar ke laman Facebook dan Instagram, gambar mereka bergaya di depan Kaabah hingga mengambil gambar sendiri atau selfie di tingkat atas Masjidil Haram dan di bawah kanopi di Masjid Nabawi.

Bahkan, ada juga jemaah menyiarkan gambar secara berkumpulan, sambil membawa kain rentang atau bendera negara masing-masing di kedua-dua masjid tersebut.

Para pengkritik berkata "tindakan seakan melancong" itu menyimpang semangat sebenar para jemaah menunaikan ibadah haji dan umrah.

"Sekiranya ada yang melanggar peraturan itu, pengawal keselamatan diarah supaya merampas gambar dan kamera jika perlu," demikian menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, perubahan tersebut perlu disebarkan kepada setiap pengendali haji dan umrah di negara masing-masing.  

- Agensi berita/AQ/aq

Top