Images
  • penang airport
    Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. (Gambar: BERNAMA)

Sanggup sembunyi dalam tayar pesawat asalkan dapat pulang kampung

GEORGE TOWN: Polis menahan seorang lelaki warga Indonesia kerana mencerobohi kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan bersembunyi di dalam ruang tayar sebuah pesawat kargo.

Menurut sumber, kejadian itu disedari seorang juruteknik yang sedang membuat kerja penyelenggaraan kapal terbang kargo berkenaan sekitar pukul 10.00 pagi pada Isnin (13 Mei).

"Juruteknik itu ternampak lelaki Indonesia berusia 39 tahun berkenaan keluar dari tempat persembunyian iaitu tayar pesawat tersebut sebelum beliau memaklumkan pasukan kawalan keselamatan untuk tindakan lanjut," katanya.

Sumber menambah lelaki itu, yang bekerja di tempat memproses ayam di Pulau Pinang sejak sembilan bulan lalu, berjaya ditahan pasukan kawalan keselamatan sebelum diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Lelaki itu dikatakan bertindak sedemikian kerana mahu pulang ke Medan, Indonesia, namun tidak mempunyai wang yang mencukupi berikutan majikannya tidak membayar gajinya sejak dua bulan lepas.

Sumber itu berkata lelaki berkenaan berjaya memasuki ke dalam kapal terbang berkenaan selepas menceroboh masuk melalui pagar yang berlubang berhampiran tanah perkuburan di Permatang Damar Laut dan berjalan menuju ke pesawat pukul 12.00 tengah malam pada Isnin.

Suspek seterusnya bersembunyi di bahagian tayar pesawat kargo tersebut sejak awal pagi sebelum dia keluar dari tempat persembunyian berkenaan selepas terdengar suara juruteknik tersebut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya DSP Jafri Md Zain mengesahkan kejadian itu sambil berkata bahawa siasatan lanjut masih dijalankan. 

- BERNAMA/FZ/fz

Top