Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

'Salah satu detik hitam dalam sejarah New Zealand', kata PM Jacinda Ardern

Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern berkata pada Jumaat (15 Mac) bahawa serangan berdarah ke atas sebuah masjid di Christchurch adalah antara 'peristiwa hitam dalam sejarah' negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 Mar 2019 02:47PM Dikemas Kini : 15 Mar 2019 10:49PM

CHRISTCHURCH: Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern berkata pada Jumaat (15 Mac) bahawa serangan berdarah ke atas sebuah masjid di Christchurch adalah antara 'peristiwa hitam dalam sejarah' negara itu.

"Jelas sekali apa yang berlaku di sini adalah satu perbuatan ganas dan kejam yang belum pernah berlaku di sini," kata Cik Ardern semasa menyampaikan ucapan kepada seluruh negara yang tersentak dengan insiden tersebut.

Polis New Zealand mengesahkan beberapa kematian di dua buah masjid semasa solat Jumaat.

"Buat masa ini, polis sudah menahan seorang suspek. Bagaimanapun, mungkin ada beberapa individu lain yang turut terlibat," kata Cik Ardern.

"Insiden ini melibatkan beberapa lokasi dan pihak polis akan mendedahkan lebih banyak perincian sebaik saja kami menerimanya," tambah beliau lagi.

"Ramai daripada mereka yang terjejas secara langsung akibat insiden ini mungkin adalah mereka yang sudah berhijrah ke negara ini, mungkin juga mereka adalah orang pelarian," kata Cik Ardern.

"Mereka memilih New Zealand untuk dijadikan sebagai kediaman mereka dan negara ini adalah tempat tinggal mereka. Mereka adalah penduduk negara ini. Tetapi orang yang mendalangi insiden ganas terhadap kami tidak wajar dianggap sedemikian."

"Mereka seharusnya hidup dalam persekitaran yang selamat," tegas beliau.

"Buat masa ini, ingatan dan doa saya, dan saya yakin begitu juga bagi seluruh rakyat New Zealand, ditujukan kepada mereka yang terjejas dan juga keluarga mereka."

Cik Ardern turut menggesa para penduduk supaya mematuhi arahan polis yang menasihatkan para penduduk supaya jangan keluar rumah buat masa ini.

Menurut Perdana Menteri New Zealand itu, beliau akan pulang ke Wellington di mana beliau akan bertemu dengan agensi-agensi pemerintah yang lain.

Pemimpin pembangkang Simon Bridges berkata: "Kami berdiri teguh dengan masyarakat Islam New Zealand dan kami akan menyokong mereka."

Perdana Menteri Australia Scott Morrison adalah antara pemimpin asing yang turut menyuarakan keprihatinan.

"Saya amat terkejut dengan perkembangan di Christchurch, New Zealand," kata Encik Morrison.

"Ingatan dan doa kami ditujukan kepada saudara kami di New Zealand."

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan