Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Saiz wilayah ISIS kini kurang 1% berbanding 'khilafah' asal

Kejayaan angkatan tentera pimpinan puak Kurdi di Syria sejak akhir-akhir ini mengecilkan lagi saiz 'khilafah' ISIS kepada kurang satu peratus berbanding saiz asalnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Saiz wilayah ISIS kini kurang 1% berbanding 'khilafah' asal

Penggempur dari Tentera Demokratik Syria mengambil selfie sambil berdiri berhampiran runtuhan tapak yang musnah di Raqqa. (Gambar: REUTERS/Rodi Said)

Diterbitkan : 09 Feb 2019 06:20PM Dikemas Kini : 09 Feb 2019 06:22PM

BEIRUT: Kejayaan angkatan tentera pimpinan puak Kurdi di Syria sejak akhir-akhir ini mengecilkan lagi saiz 'khilafah' ISIS kepada kurang satu peratus berbanding saiz asalnya.

Demikian didedahkan oleh perikatan yang dipimpin Amerika Syarikat itu pada Khamis (7 Feb).

Timbalan Komander perikatan itu, Mejar Jeneral Christopher Ghika, menyifatkan saiz kawasan yang kini dikuasai kumpulan militan tersebut sebagai "kurang satu peratus daripada khilafah asal".

Perikatan itu dan sekutunya puak Kurdi sudahpun menawan "sekitar 99.5 peratus" daripada kawasan yang dikuasai ISIS sebelum ini, menurut beliau dalam satu kenyataan.

Semasa bermaharajalela dahulu, kawasan yang jatuh ke tangan ISIS di Syria dan Iraq pada bulan Jun 2014 luasnya lebih kurang saiz Britain.

Namun kumpulan militan itu sudah kehilangan sebahagian besar wilayah yang pernah dikuasainya kepada pelbagai pihak.

Kumpulan militan itu sekarang hanya berpaut pada tanah sekangkang kera berdekatan kampung Baghouz di bahagian timur Syria dan ramai penduduknya melarikan diri sebelum serangan terakhir itu.

Anggota militan "sedang mencuba untuk melarikan diri dengan bersembunyi di sebalik wanita dan kanak-kanak tidak berdosa yang juga cuba melarikan diri daripada pertempuran itu", Encik Christopher dipetik sebagai berkata demikian.

"Muslihat mereka ini tidak akan berjaya. Rakan-rakan perikatan kami di Syria bertekad memburu ISIS walau di mana pun mereka bersembunyi. Manakala rakan-rakan di Iraq pula sudah memperketat kawalan di sempadan mereka," tambah beliau.

Lebih 37,000 orang, yang kebanyakannya isteri serta anak-anak anggota militan sudah melarikan diri daripada wilayah ISIS sejak serangan bertubi-tubi yang dilancarkan oleh Pasukan Demokratik Syria yang dipimpin Kurdi dan disokong oleh Amerika Syarikat pada bulan Disember lalu, menurut Syrian Observatory for Human Rights.

Menurut pertubuhan yang berpangkalan di Britain itu, angka tersebut termasuk sekitar 3,200 orang yang disyaki anggota militan.

Sumber : AFP/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan