Images
  • saifuddin
    Encik Saifuddin ketika hadir di Singapura bagi pertemuan bersama Dr Vivian Balakrishnan. (Gambar fail: Vivian Balakrishnan/Facebook)

Saifuddin lihat kesepakatan S'pura, M'sia cari huraian pertikaian ruang udara, maritim

KUALA LUMPUR: Tindakan selanjutnya selepas penggantungan sebulan pelaksanaan Kawasan Larangan oleh Malaysia dan pelaksanaan prosedur Sistem Pendaratan Alatan (ILS) oleh Singapura bagi Lapangan Terbang Seletar, bergantung kepada siri rundingan oleh kedua-dua negara.

Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah berkata, apa yang penting adalah kedua-dua belah pihak berjaya mencapai kata sepakat dan membuktikan isu-isu melibatkan Malaysia dan Singapura masih boleh dirundingkan.

“Itu adalah yang lebih utama untuk saya," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan bola keranjang ASEAN antara Westports Malaysia Dragons dan San Miguel Alab Pilipinas semalam (9 Jan).

Menurutnya, langkah kedua-dua negara menamakan siapa yang mengetuai rundingan serta tempoh masa tertentu yang ditetapkan menunjukkan ada kesepakatan antara kedua-dua negara.

Tempoh penggantungan serta-merta selama sebulan itu dinyatakan dalam kenyataan bersama selepas mesyuarat dua hala antara Encik Saifuddin dan rakan sejawatannya dari Singapura, Dr Vivian Balakrishnan di Singapura pada 8 Jan.

Kedua-dua pihak turut bersetuju pada masa ini supaya Menteri Pengangkutan kedua-dua negara perlu bertemu segera untuk perbincangan mengenai Kawasan Larangan dan tatacara ILS untuk memastikan keselamatan dan keberkesanan penerbangan awam.

Berkaitan isu maritim membabitkan had pelabuhan Johor Bahru dan Singapura, kedua-dua negara bersetuju menubuhkan kumpulan kerja diketuai Setiausaha Tetap Kementerian Luar Singapura, Chee Wee Kiong dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Malaysia Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.

Kumpulan kerja itu dikehendaki melaporkan kepada kedua-dua Menteri Luar dalam tempoh dua bulan. 

- BERNAMA/AQ/aq

Top