Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

S'pura tuan rumah mesyuarat pertama Bandar Bijak ASEAN

Para pemimpin dari 26 bandar ASEAN berkumpul pada Ahad (8 Jul) di mesyuarat pertama Bandar Bijak ASEAN demi menggiatkan usaha bagi pelaksanaan rangkaian bandar bijak di rantau ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 08 Jul 2018 09:39PM Dikemas Kini : 08 Jul 2018 09:50PM

SINGAPURA: Para pemimpin dari 26 bandar ASEAN menggiatkan usaha bagi pelaksanaan rangkaian bandar bijak di seluruh rantau ini.

Mereka berkumpul pada Ahad (8 Jul) di mesyuarat pertama Bandar Bijak ASEAN yang merupakan sebahagian daripada Sidang Puncak Bandar-Bandar Sedunia.

Mereka akan menegaskan lagi langkah-langkah seterusnya menyusuli komitmen yang dibuat semasa Sidang Puncak ASEAN ke-32 pada April lalu.

VISI RANTAU ASEAN LEBIH BERDAYA SAING

Bayangkan satu hari nanti, seorang peniaga di Manila, Filipina mungkin boleh membayar pembekal di Kuching, Malaysia dengan mudah dan lancar walaupun ia mungkin dilakukan menerusi beberapa bank yang menggunakan sistem bayaran elektronik berbeza.

Demikian sebahagian daripada aspirasi Rangkaian Bandar Bijak ASEAN atau ASCN.

Ia akan menjadikan rantau ini lebih berdaya saing dari segi ekonomi dan mutu hidup.

Menteri Luar, Dr Vivian Balakrishnan menarik perhatian kepada perkembangan itu di pembukaan mesyuarat pertama ASCN pagi tadi.

"Saya percaya kalau kita boleh tetapkan agenda dengan betul, melaksanakan rancangan dengan baik, mempertimbangkan manfaat kelebihan daya saing unik ASEAN, terus mengintegrasikan khidmat dan memastikan kita terus mempunyai rancangan nasional yang unik, relevan, yang membolehkan kita saling beroperasi dengan satu sama lain, saya rasa kita bersedia untuk masa depan," kata Dr Balakrishnan.

JANA PEKERJAAN, JIMAT KOS DAYA TENAGA

Bandar-bandar bijak boleh mewujudkan sehingga 1.5 juta pekerjaan dan penjimatan kos daya tenaga sebanyak AS$16 bilion bagi para penduduk ASEAN.

Dengan bantuan data besar dan 'Internet of Things', ia boleh membawa kepada bandar-bandar yang lebih sesuai didiami dan kebajikan bermutu tinggi, mempunyai penjagaan kesihatan lebih baik, mengurangkan gas rumah hijau serta kesesakan trafik.

Walau bagaimanapun setiap bandar mempunyai cabaran tersendiri.

Apabila Thailand mengambil alih tugas sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan, Ketua Pegawai Bandar Bijak Thailand, Dr Passakon berharap negaranya dapat memberi tumpuan terhadap menangani tenaga kerja dan keperluan pengetahuan di rantau itu untuk meneruskan kerja-kerja ASCN.

Konsultan pembangunan McKinsey & Company percaya bandar-bandar boleh mencapai sasaran itu dengan berkesan melalui kerjasama meluas dengan masyarakat.

Lima memorandum persefahaman ditandatangani di permulaan mesyuarat antara bandar-bandar ASCN, penyedia huraian dan negara-negara lain seperti Jepun.

Ia termasuk kerjasama untuk menyediakan pendidikan dan sokongan pembangunan bagi rangkaian bandar bijak.  

Sumber : CNA/NU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan