Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

S'pura sudah sedia harungi kesan buruk perang dagang berlarutan China-AS

Singapura sudah bersedia untuk mengharungi kesan-kesan buruk akibat perang perdagangan yang berlarutan antara China dengan Amerika Syarikat. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 28 May 2019 08:36PM Dikemas Kini : 28 May 2019 09:42PM

SHENZHEN, CHINA: Singapura sudah bersedia untuk mengharungi kesan-kesan buruk akibat perang perdagangan yang berlarutan antara China dengan Amerika Syarikat.

Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat berkata selain mempunyai dasar kewangan dan fiskal untuk menangani kemerosotan kitaran, perubahan ekonomi Singapura juga perlu dilaksanakan pada rentak yang lebih pantas.

Beliau bagaimanapun melahirkan harapan agar satu huraian baik dapat dicapai bagi meleraikan pertikaian dagangan itu.

Encik Heng berkata demikian kepada media Singapura di bandar Shenzhen, China. Beliau sedang melakukan lawatan lapan hari ke China, sehingga esok.

Pemimpin Singapura itu berkata beliau membincangkan tentang isu pertikaian dagangan AS-China itu dengan para pemimpin China.

Para pemimpin Beijing, kata Encik Heng. melahirkan harapan untuk mencapai satu huraian, namun mereka juga menegaskan bersedia untuk tegas dengan pendirian mereka jika perbalahan terus menjadi bertambah buruk.

Lantaran itu kata beliau, Singapura harus bersedia.

"Selain perang perdagangan Amerika-China, kita juga akan menghadapi perubahan teknologi yang amat pesat. Oleh itu jika kita tidak segera melakukan perubahan dan dalam proses itu memastikan para pekerja kita tidak ketinggalan, kita mesti membawa mereka bersama dalam perjalanan ini.

"Jadi ini amat penting dan kita mesti memberi tumpuan fikiran dan tenaga terhadapnya. Saya berharap para pemimpin korporat di Singapura mengambil perkara ini dengan amat serius kerana ia juga peluang bagi kita untuk mengubah kesulitan menjadi suatu kekuatan," jelas DPM Heng.

Ini merupakan lawatan pertama Encik Heng ke China selaku Timbalan Perdana Menteri. Beliau bertemu dengan para pemimpin di Beijing, Shenzen, Guangzhou dan Shanghai, termasuk lima anggota politbiro Parti Komunis China.

Encik Heng berkata beliau merancang untuk membawa hubungan dua hala ke peringkat selanjutnya sebagai ketua kepimpinan generasi keempat Singapura.

Di setiap peringkat, Singapura sudahpun dapat mencari projek-projek yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Menurut beliau banyak projek sedemikian sudah dibincangkan bagi kerjasama dua hala untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang. 

Sumber : CNA/MU/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan