Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

S'pura, KL antara bandar hadapi perubahan iklim 'belum pernah berlaku' jelang 2050

Singapura dan Kuala Lumpur adalah antara bandar-bandar yang akan berdepan dengan perubahan iklim yang belum pernah berlaku menjelang 2050. Demikian amaran para penyelidik pada Rabu (10 Julai).

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura, KL antara bandar hadapi perubahan iklim 'belum pernah berlaku' jelang 2050

Kejadian banjir di Supreme Court Lane pada 23 Januari 2017. (Gambar: TODAY/Ernest Chua)

Diterbitkan : 11 Jul 2019 11:22AM Dikemas Kini : 11 Jul 2019 11:27AM

KUALA LUMPUR: Singapura dan Kuala Lumpur adalah antara bandar-bandar yang akan berdepan dengan perubahan iklim yang belum pernah berlaku menjelang 2050. Demikian amaran para penyelidik pada Rabu (10 Julai).

Perubahan sedemikian mungkin termasuk perubahan pada paras air hujan yang mengakibatkan banjir dan kemarau teruk, menurut para saintis iklim dari Crowther Lab, iaitu sekumpulan penyelidik yang berpangkalan di ETH Zurich, sebuah universiti sains dan teknologi.

Para saintis itu mengkaji 520 bandar di merata dunia, termasuk kesemua ibu kota dan pusat-pusat bandar dengan jumlah penduduk lebih sejuta orang.

Berdasarkan keadaan iklim sedia ada di bandar-bandar itu, termasuk paras air hujan dan data musiman, para saintis membuat ramalan tentang kesan-kesan yang akan berlaku, sedang suhu meningkat setengah darjah Selsius, semakin hampir dengan sasaran peningkatan suhu 1.5 darjah Selsius di bawah Perjanjian Paris mengenai perubahan iklim pada 2015.

Para saintis di Crowther Lab berkata kajian mereka, yang diterbitkan dalam jurnal PLOS ONE, adalah kajian global yang pertama menganalisis perubahan pada keadaan iklim di bandar-bandar utama dunia akibat pemanasan bumi.

Hasil kajian itu menunjukkan 77 peratus daripada bandar-bandar yang diselidik akan mengalami perubahan iklim yang ketara menjelang 2050.

Seperlima daripada bandar-bandar di merata dunia akan mengalami perubahan iklim yang belum pernah berlaku dahulu, seperti musim kemarau dan monsun lebih teruk, kata Jean Francis-Bastin, penyelidik kanan kajian tersebut.

Dalam kalangan 22 peratus bandar yang akan menyaksikan perubahan iklim yang belum pernah berlaku, 64 peratus terletak di kawasan tropika, termasuk Kuala Lumpur, Jakarta, Rangoon dan Singapura, menurut para penyelidik.

Bandar-bandar di kawasan tropika berkemungkinan akan menyaksikan kesan paling ketara akibat perubahan iklim, menurut kajian itu, namun akan mengalami perubahan yang lebih kecil pada suhu purata.

"Ia adalah perubahan keadaan iklim yang mungkin meningkatkan risiko banjir dan kemarau ekstrem," kata Francis-Bastin. "Ia adalah keadaan yang tidak diketahui."

Kajian itu mungkin membantu bandar-bandar untuk menyesuaikan rancangan mereka dalam menangani risiko-risiko iklim tertentu, kata Francis-Bastin. Beliau juga melahirkan harapan agar kajian itu akan mendorong orang ramai untuk mengubah gaya hidup mereka supaya menurunkan pengeluaran gas yang memanaskan bumi dan mengurangkan risiko-risiko perubahan iklim.

Sumber : Reuters/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan