Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

S'pura, AS 'saling bertukar pandangan' mengenai perkembangan serantau termasuk krisis Myanmar

Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Anthony Blinken berbincang melalui telefon pada Rabu (10 Feb), di mana mereka saling bertukar-tukar pandangan tentang perkembangan serantau termasuk keadaan di Myanmar.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura, AS 'saling bertukar pandangan' mengenai perkembangan serantau termasuk krisis Myanmar

(Gambar: AP)

Diterbitkan : 10 Feb 2021 02:58PM Dikemas Kini : 10 Feb 2021 02:59PM

SINGAPURA: Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Anthony Blinken berbincang melalui telefon pada Rabu (10 Feb), di mana mereka saling bertukar-tukar pandangan tentang perkembangan serantau termasuk keadaan di Myanmar.

Perbincangan melalui telefon itu diadakan seminggu setelah berlaku rampasan kuasa di Myanmar yang menggulingkan pemerintah pimpinan Aung San Suu Kyi, yang ditahan bersama dengan para pemimpin Parti Liga Nasional bagi Demokrasi (NLD) yang lain.

Dr Balakrishnan turut mengucapkan tahniah kepada Encik Blinken atas pelantikannya sebagai setiausaha negara, menurut kenyataan media oleh Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan kedua-dua pemimpin juga "menegaskan hubungan baik dan sudah lama terjalin antara Singapura dengan Amerika Syarikat dan kerjasama kukuh dan kian berkembang dalam bidang pertahanan, keselamatan serta perdagangan dan pelaburan".

"Menteri Balakrishnan dan Setiausaha Blinken juga bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan serantau, termasuk keadaan di Myanmar," tambah MFA.

Dalam satu kenyataan berasingan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat, jurucakapnya Ned Price berkata bahawa kedua-dua diplomat itu "menyuarakan keprihatinan yang mendalam terhadap rampasan kuasa di Myanmar".

Kedua-dua pemimpin itu juga menyentuh tentang respons global terhadap pandemik COVID-19 dan perubahan iklim - bidang-bidang yang kedua-dua pemimpin bersetuju akan "bekerja rapat", menurut MFA.

"Menteri Balakrishnan mengalu-alukan usaha Pentadbiran Biden untuk mengukuhkan hubungan dengan rantau ini dan kerjasama dengan ASEAN serta rakan-rakan serantau."

RAMPASAN KUASA DI MYANMAR

Pada 1 Feb, iaitu hari berlaku rampasan kuasa di Myanmar, MFA menyatakan bahawa pihaknya sedang memantau keadaan dengan teliti di Myanmar dan Singapura menyuarakan "keprihatinan yang mendalam" terhadap keadaan itu. "(Kami) berharap semua pihak yang terlibat akan mengawal diri, mengekalkan dialog dan berusaha ke arah hasil yang positif dan aman damai."

Pada hari yang sama, Amerika Syarikat memberi amaran mengenai tindak balas dan menyatakan bahawa ia akan "mengambil tindakan. Pada keesokan harinya, Washington secara rasmi menyifatkan tindakan tentera Myanmar sebagai satu rampasan kuasa.

Ini bermakna, di bawah undang-undang Amerika Syarikat, Washington dilarang menolong pemerintah Myanmar, dengan kesannya sebahagian besarnya simbolik kerana hampir semua bantuan dihulurkan melalui saluran-saluran bukan pemerintah.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan