Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rusia dijadikan 'kambing hitam' nahas MH17, kata Mahathir

Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad berkata pada Khamis (20 Jun) bahawa Rusia dijadikan kambing hitam berhubung insiden melibatkan pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh dan beliau turut mempersoalkan objektiviti siasatan terhadap nahas pada 2014 itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Rusia dijadikan 'kambing hitam' nahas MH17, kata Mahathir

Serpihan bangkai pesawat Malaysia Airlines MH17, yang terhempas di Ukraine pada Julai 2014, dibina semula dan dipamerkan di Gilze Rijen, Belanda, pada 13 Oktober 2015. (Gambar: Michael Kooren/REUTERS)

Diterbitkan : 20 Jun 2019 06:31PM Dikemas Kini : 20 Jun 2019 06:36PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad berkata pada Khamis (20 Jun) bahawa Rusia dijadikan kambing hitam berhubung insiden melibatkan pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh dan beliau turut mempersoalkan objektiviti siasatan terhadap nahas pada 2014 itu.

Pasukan penyiasat dalaman yang ditubuhkan untuk menyiasat nahas itu menyatakan pada Rabu (19 Jun) bahawa tiga rakyat Rusia dan seorang rakyat Ukraine akan dikenakan tuduhan-tuduhan atas pembunuhan 298 orang dalam pesawat yang ditembak jatuh di timur Ukraine.

"Kami amat tidak berpuas hati kerana dari mula lagi ia dijadikan isu politik mengenai bagaimana untuk menuduh Rusia atas salah laku itu," kata Dr Mahathir kepada para wartawan semasa satu acara kerajaan.

"Sebelum mereka melakukan pemeriksaan, mereka sudahpun (menyalahkan) Rusia. Dan sekarang mereka berkata mereka ada bahan bukti. Ia sukar bagi kami untuk menerima (hasil siasatan) itu."

MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 di ruang udara wilayah yang ditakluk pemberontak pro-Rusia di timur Ukraine ketika ia sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Kesemua kru dan penumpang terbunuh.

Pasukan antarabangsa yang diterajui Belanda menamakan empat suspek, iaitu rakyat Rusia Sergey Dubinsky, Oleg Pulatov dan Igor Girkin, serta rakyat Ukraine Leonid Kharchenko.

Pasukan itu menyatakan waran tangkap antarabangsa sudah dikeluarkan terhadap keempat-empat suspek.

Ketua pendakwa Belanda Fred Westerbeke berkata suspek-suspek dipercayai bertanggungjawab kerana membawa peluru berpandu buatan Rusia ke Ukraine "dengan tujuan menembak jatuh sebuah kapal terbang".

Rusia menyatakan pihaknya menyesali hasil dapatan siasatan tersebut sambil menambah tuduhan-tuduhan membunuh terhadap suspek-suspek rakyat Rusia tidak berasas sama sekali.

Dr Mahathir berkata beliau tidak fikir Rusia terbabit dalam serangan itu sambil berkata hasil dapatan pasukan siasatan itu adalah berdasarkan "dengar cakap".

"Saya mengharapkan agar kesemua pihak mencari kebenaran," kata beliau.

Sumber : Bernama/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan