Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rundingan nuklear temui jalan buntu, AS salahkan Iran

Amerika Syarikat menyelar Iran pada Jumaat (3 Dis), dengan menyatakan rundingan nuklear antara negara itu dan kuasa-kuasa dunia menemui jalan buntu kerana Tehran "nampaknya tidak serius" untuk kembali ke meja rundingan.

Anggaran Waktu Membaca:
Rundingan nuklear temui jalan buntu, AS salahkan Iran

(Gambar: EDUARDO MUNOZ / POOL / AFP)

Diterbitkan : 04 Dec 2021 04:52PM Dikemas Kini : 04 Dec 2021 04:57PM

WASHINGTON: Amerika Syarikat menyelar Iran pada Jumaat (3 Dis), dengan menyatakan rundingan nuklear antara negara itu dan kuasa-kuasa dunia menemui jalan buntu kerana Tehran "nampaknya tidak serius" untuk kembali ke meja rundingan.

Setiausaha Negara AS Antony Blinken memberi amaran Washington tidak akan membiarkan negara itu memanjang-manjangkan rundingan sambil terus memajukan cita-cita nuklearnya. Tegasnya, AS akan mengambil "pilihan lain" jika diplomasi gagal.

Teguran itu dibuat ketika diplomat menggantung pusingan ketujuh rundingan antarabangsa yang bertujuan menghidupkan semula perjanjian nuklear Iran 2015, dengan peserta AS dan Eropah menyuarakan kebimbangan selepas rundingan selama lima hari.

Penilaian Encik Blinken itu turut diakui Presiden Joe Biden. Menurut jurucakapnya Jen Psaki enam pusingan pertama telah "mencapai kemajuan," tetapi "pendekatan Iran minggu ini, malangnya, seakan tidak cuba untuk menyelesaikan isu-isu yang ada."

Cik Psaki berkata Iran telah "memulakan pusingan baru rundingan ini dengan pusingan baru provokasi nuklear" yang dilaporkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Beliau juga menyalahkan pendahulu Presiden Biden, Donald Trump, kerana secara sepihak menarik Amerika Syarikat keluar daripada perjanjian itu, menyebabkan program nuklear Iran "berkembang secara dramatik dan tidak pernah berlaku sebelum ini".

Presiden Biden menekankan sebelum ini beliau mahu menyertai semula perjanjian itu, dan Amerika Syarikat mengikuti perbincangan minggu ini secara tidak langsung.

Perjanjian penting itu - pada mulanya dipersetujui antara Britain, China, Perancis, Jerman, Iran, Rusia dan Amerika Syarikat - mula goyah pada 2018 apabila Encik Trump menarik diri dan melaksanakan semula sekatan, mendorong Iran meningkatkan aktiviti nuklear pada tahun berikutnya. 

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan